KDN perkukuh agenda kebajikan Ramadan, santuni anak yatim dan asnaf

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Setia Perkasa / BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Februari – Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) mempergiat agenda kebajikan sepanjang Ramadan dengan menganjurkan pelbagai program menyantuni anak yatim dan golongan asnaf sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kementerian itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDN pergiatkan agenda kebajikan sepanjang Ramadan dengan pelbagai program menyantuni anak yatim dan asnaf.
  • Program bukan sekadar acara tahunan tetapi manifestasi komitmen kementerian mendekati masyarakat memerlukan.
  • Kehadiran dan penglibatan warga KDN menzahirkan nilai ihsan serta memperkukuh semangat kebersamaan penjawat awam.
  • Program melibatkan kira-kira 1,000 kakitangan termasuk PDRM, Imigresen dan AADK bagi memperkukuh hubungan komuniti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya manifestasi komitmen kementerian untuk mendekati masyarakat yang memerlukan.

“Ramadan mendidik kita untuk lebih peka terhadap kesusahan orang lain. Justeru, KDN mengambil pendekatan menyantuni anak yatim dan asnaf bukan sahaja melalui sumbangan, tetapi juga dengan kehadiran dan kebersamaan warga kementerian,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan aktif warga KDN dalam program kebajikan itu juga mampu menyemai nilai ihsan dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam.

Program anjuran KDN itu menghimpunkan kira-kira 1,000 kakitangan termasuk daripada agensi teras seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), yang diadakan di perkarangan Kompleks KDN, di sini.

Menurut Datuk Seri Saifuddin, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti serta memastikan nilai kemanusiaan sentiasa menjadi teras dalam perkhidmatan awam.