
PENGKALAN CHEPA, 23 Februari – Lebih ramai pelajar Orang Asli di Kelantan dijangka berpeluang melanjutkan pengajian ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan.
- JPN Kelantan mensasarkan dua kali ganda kemasukan pelajar Orang Asli ke SBP berbanding tahun ini.
- Pelan khusus termasuk sokongan psikososial dan bimbingan akademik berterusan disediakan untuk memastikan penyesuaian dan prestasi.
- Biasiswa Tengku Anis Khas MAIK diberikan kepada lima pelajar Orang Asli; bantuan akan diterus dan boleh melebihi kuota.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyasarkan sekurang-kurangnya dua kali ganda kemasukan berbanding lima pelajar yang diterima pada tahun ini.
Pengarah Pendidikan Kelantan Siti Norina Muhamad berkata sasaran itu selari usaha memperkasa akses pendidikan berkualiti kepada komuniti Orang Asli di negeri berkenaan.
Beliau berkata pihaknya telah merangka pelan khusus termasuk sokongan psikososial serta bimbingan akademik berterusan bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dan mencapai prestasi setanding rakan sebaya.
“Kalau perlu mereka dibimbing secara individu, kita akan buat. Saya sudah berbincang dengan Majlis Pengetua Sekolah dan Majlis Guru Cemerlang Kelantan untuk turut membantu,” katanya ketika ditemui selepas meraikan tiga daripada lima pelajar Orang Asli yang melaporkan diri di Sekolah Menengah Tengku Muhammad Petra, di sini hari ini.
Tiga pelajar berkenaan ialah Elfira Nur Zulhaiza Emmie dan Muhammad Putra Faizul Ab Ghani dari Kampung Sungai Rual, Jeli serta Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dari Kampung Lalang, Gua Musang.
Manakala dua lagi, Mekrenik a/p Rabu dan Nor Christina a/p Ranya dari Pos Pasik, Gua Musang melapor diri di Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
Kelima-lima pelajar itu menerima Biasiswa Tengku Anis (BTA) Khas Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Setiausaha MAIK Muhamad Rasani Ramli berkata BTA Khas menyasarkan murid asnaf di bawah kendalian Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan JPN secara menyeluruh.
“Ini adalah biasiswa pertama untuk murid Orang Asli di SBP dan kita akan terus memberi bantuan selagi ada yang memerlukan, malah boleh melebihi kuota ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti Norina berkata setakat ini tiada laporan kes tuberkulosis (TB) membabitkan pelajar sekolah di Kelantan.
Bagaimanapun, beliau berkata semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diingatkan supaya memaklumkan sekolah agar mengambil tindakan segera sekiranya terdapat pelajar mengalami simptom batuk berpanjangan.