Hari kedua Operasi Pembenihan Awan di tiga buah empangan di Johor

Hari kedua Operasi Pembenihan Awan di tiga buah empangan di Johor.

JOHOR BAHRU, 12 Februari – Hari kedua Operasi Pembenihan Awan di Johor, dijalankan di tiga buah empangan, iaitu Empangan Upper Layang, Pulai Satu dan Machap, bermula 11:40 pagi sehingga petang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pembenihan awan dijalankan di Empangan Upper Layang, Pulai Satu dan Machap untuk atasi kemarau.
  • NADMA menggunakan Pesawat Hercules C-130 TUDM untuk melaksanakan operasi dari Subang.
  • Matlamat operasi ialah menambah simpanan air empangan dan memanjangkan ketersediaan air mentah.
  • Di Upper Layang paras air masih rendah, tetapi awan mendung mula kelihatan sejak tengahari.

Operasi di tiga empangan itu susulan kawasan berkenaan paling terkesan dengan cuaca kering berpanjangan.

Pembenihan awan dijalankan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), menerusi Pesawat Hercules C – 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pengkalan Udara Subang.

Inisiatif dijalankan sebagai langkah, menambah simpanan air di empangan-empangan terlibat, seterusnya memanjangkan tempoh kesediaan air mentah untuk rawatan.

Tinjauan di Empangan Upper Layang, Pasir Gudang, pada tengahari tadi mendapati paras air masih berada bawah dari paras biasa, selain cuaca panas di lokasi.

Bagaimanapun awan mendung mula kelihatan menghampiri empangan itu, sejak pukul satu tengahari.

Empangan Upper Layang membekalkan air kepada 214,576 akaun di kawasan Pasir Gudang, dengan purata kira-kira 858,304 orang.