
KUALA LUMPUR, 11 Februari– Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menganjurkan Program Pemerkasaan Belia MADANI melalui Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sebagai usaha memperkukuh peranan belia dalam penguasaan teknologi digital.
- Pemerkasaan belia melalui pendedahan AI, automasi, data raya dan IoT untuk memperkukuh daya saing ekonomi dan kedaulatan teknologi negara.
- Menjadikan belia pemilik dan pencipta teknologi, bukan sekadar pengguna, melalui pendidikan dan Gerakan Obor IR4.0.
- Fokus pembangunan bakat luar bandar dan kerjasama luas agensi, institusi dan industri bagi akses saksama kemahiran digital.
Program itu bertujuan memberi pendedahan strategik kepada golongan belia mengenai kepentingan teknologi AI, automasi, data raya, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta teknologi digital baharu yang kini menjadi teras kepada daya saing ekonomi dan kedaulatan teknologi negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata aspirasi utama program berkenaan adalah untuk melahirkan belia yang bukan sahaja celik teknologi, malah mampu menjadi pemilik dan pencipta teknologi.
“Kita perlu menjadi pemilik teknologi kerana perkara itu membolehkan kita membina kekuatan dan nilai. Jika kita hanya menjadi pengguna teknologi, ia tidak membawa kita ke mana-mana kerana kita sekadar menikmati manfaat daripada teknologi yang dicipta dan dimiliki pihak lain.”
“Justeru, menerusi Gerakan Obor IR4.0, saya berharap GPMS dapat mendidik anak-anak muda dan belia supaya mereka menjadi pencipta, bukan sekadar pengguna teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam sempena Program Pemerkasaan Belia MADANI melalui Teknologi AI dan Revolusi Industri 4.0 anjuran GPMS, di sini malam tadi.
Majlis pelancaran program berkenaan turut diserikan dengan pelancaran Gerakan Obor IR4.0 (GO-IR4.0) sebagai inisiatif nasional yang menumpukan kepada aspek kesedaran, pembangunan bakat dan kepimpinan teknologi dalam kalangan belia.
Inisiatif itu turut memberi penekanan khusus kepada pembangunan bakat belia luar bandar bagi memastikan akses saksama terhadap peluang kemahiran digital, latihan teknologi serta mobiliti ekonomi masa hadapan merentasi semua lapisan masyarakat.
Selain itu, GPMS turut menyasarkan jaringan kerjasama lebih luas bersama agensi kerajaan, institusi pendidikan, pemain industri dan organisasi belia bagi membentuk ekosistem pemerkasaan belia yang mampan.