
GEORGE TOWN, 8 Februari– Sebanyak 777 program telah dilaksanakan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Utara, tahun lalu sekali gus memberi manfaat kepada lebih 35,000 peserta seluruh negara.
- IKMa Zon Utara melaksanakan 777 program latihan dan bimbingan tahun lalu memberi manfaat kepada lebih 35,000 peserta.
- Program menekankan penglibatan belia melalui kerjasama dengan IKBN, politeknik dan program khusus bersama IKBN Bukit Mertajam.
- IKMa meneruskan usaha melalui Jom@Coop 2026, acara promosi tahunan diadakan di 40 lokasi bagi memperkukuh kefahaman koperasi.
Pengarahnya, Yusnita Othman berkata program yang dilaksana turut menekankan penglibatan belia termasuk kerjasama dengan Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) dan Politeknik.
“Kita telah berjaya melaksanakan sebanyak 777 program latihan dan bimbingan dengan penerima manfaat yang besar. Secara keseluruhan, lebih 35,000 peserta telah menerima manfaat daripada program ini.”
“Golongan belia turut diberi penekanan melalui program yang memfokuskan penyertaan mereka. Sebagai contoh, pada tahun lalu di Zon Utara, kita telah melaksanakan satu program belia bersama IKBN Bukit Mertajam,” kata Yusnita dalam sesi temu bual bersama RTM di Konti MutiaraFM, di sini.
Sementara itu, IKMA Zon Utara meneruskan usaha memperkasa pendidikan dan latihan koperasi menerusi penganjuran program Jom@Coop 2026.
Acara berkenaan bakal diadakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 12 Februari ini dan telah menerima sebanyak 190 penyertaan, setakat ini.
Penganjuran itu dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan koperasi selain melahirkan lebih ramai modal insan berpengetahuan dalam sektor berkenaan.
“Program Jom @ Co-op merupakan program promosi tahunan yang dilaksanakan oleh IKMA setiap tahun. Pada tahun ini, program berkenaan lebih istimewa kerana diadakan bersempena Sambutan Jubli Platinum.”
“Sepanjang penganjuran program, pelbagai pengisian disediakan termasuk penerangan mengenai IKMA sempena 70 tahun penubuhannya, selain taklimat berkaitan program latihan IKMA 2026.”
“Program ini turut diselitkan dengan sesi perkongsian daripada koperasi yang telah menerima manfaat pendidikan dan latihan yang disediakan oleh IKMA,” tambahnya.
Jom@Co-op 2026 akan dianjurkan di 40 lokasi di seluruh negara.