
ALOR SETAR, 5 Februari – Sebanyak 298 pelayar daripada 10 negara mengesahkan penyertaan pada Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2026 yang akan berlangsung di Langkawi dari 8 hingga 12 Feb ini.
- 298 pelayar dari 10 negara mengesahkan penyertaan pada LIRP 2026 di Langkawi.
- LIRP 2026 mengukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi utama acara pelayaran antarabangsa.
- Kategori Wing Foil diperkenalkan buat pertama kali, dengan sembilan kategori dipertandingkan.
Kejohanan edisi ke-22 yang akan diadakan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang itu bakal mengukuhkan reputasi Langkawi sebagai antara destinasi utama penganjuran acara sukan pelayaran bertaraf antarabangsa di rantau berkenaan.
Pengarah Kejohanan LIRP Mohd Afendy Abdullah berkata edisi kali ini menerima penyertaan pelayar dari Korea, Taiwan, China, Thailand, Singapura, Jepun, Oman, Filipina, Perancis serta Malaysia sebagai tuan rumah.
“LIRP yang mula dianjurkan pada 2002 kini berkembang menjadi antara kejohanan perahu layar terbesar di Asia Tenggara dan berperanan sebagai platform penting pembangunan bakat pelayar muda ke peringkat lebih tinggi termasuk Sukan SEA dan Sukan Asia.
“Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan pada edisi 2026, iaitu Optimist, Laser Standard (ILCA 7), Laser Radial (ILCA 6), Laser 4.7 (ILCA 4), International 470, International 420, Windsurfing, 29er dan Wing Foil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi edisi kali ini, kategori Wing Foil diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah penganjuran LIRP, selari dengan perkembangan disiplin baharu sukan pelayaran di peringkat global.
“Pelayar negara Muhammad Asnawi Iqbal Adam dari Sabah dijangka menjadi antara tumpuan utama dalam kategori ILCA 7 dengan potensi untuk mempertahankan kejuaraan. Sebelum ini, beliau mencatat sejarah tersendiri apabila meraih pingat gangsa pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China.
“Selain itu, Khairul Ilzani Mohd Afendy dari Kedah turut dilihat sebagai prospek pelayar muda yang berpotensi selepas muncul juara kategori Optimist A pada Regata Sosial Pulau Rebak 2025,” katanya.
LIRP 2026 dianjurkan oleh Persatuan Perahu Layar Kedah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Pelayaran Malaysia serta kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi.- BERNAMA