Pengecualian cukai TAR UMT dilanjutkan 10 tahun

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim/ PMO

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelanjutan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melanjutkan pengecualian cukai 10 tahun kepada TAR UMT untuk tujuan pendidikan.
  • Pengecualian cukai diberikan di bawah status bukan keuntungan mengikut subseksyen Akta Pendapatan.
  • TAR UMT turut menerima geran kerajaan RM40 juta bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti.

Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa Program Temu Anwar @ TAR UMT, di ibu negara.

“Seperti mana yang telah kita umumkan semua badan-badan atau yayasan pendidikan dengan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kewangan, kalau tujuannya untuk pendidikan, sepert mana yayasan TAR. Kita luluskan pengecualian cukai 10 tahun”, kata Datuk Seri Anwar.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pendidikan TAR Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong menyambut baik pengumuman pelanjutan pengecualian cukai tersebut.

“Status pengecualian cukai 44.6 di bawah subseksyen Akta Pendapatan 11.27 membolehkan universiti yang berorientasikan bukan keuntungan dalam bidang pendidikan menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun.

“Saya rasa ini adalah satu yang baik bagi mereka yang hendak merencana agenda pendidikan kerana dengan cara ini sebagai satu sokongan kerajaan untuk masyarakat terlibat bersama membantu membangunkan agenda pendidikan”, katanya selepas Program Temu Anwar @ TAR UMT di ibu negara.

Dalam pada itu TAR UMT juga turut menerima geran kerajaan berjumlah RM40 juta, bagi memastikan akses berterusan kepada pendidikan tinggi yang berkualiti.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan