BATC 2026: Gagal tembus Tembok Besar, skuad wanita negara tewas 1-4

Gambar hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Skuad wanita negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao dengan langkah kiri selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah, China, dalam aksi Kumpulan W hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad wanita negara tewas 1-4 kepada China dalam aksi Kumpulan W BATC 2026 di Qingdao.
  • China mendahului menerusi dua perseorangan dan satu beregu sebelum Malaysia menang satu mata.
  • Kekalahan tidak menjejas peluang suku akhir kerana hanya China dan Malaysia dalam kumpulan; dua layak.

China terlebih dahulu mendahului perlawanan di Gimnasium Conson, Pusat Sukan Qingdao, menerusi perseorangan utama mereka Han Qian Xi yang menewaskan K. Letshanaa 21-18, 21-10 dalam masa 40 minit.

Kelebihan tuan rumah digandakan apabila gandingan beregu pertama, Jia Yi Fan–Zhang Shu Xian, mudah mengatasi Ong Xin Yee–Carmen Ting 21-10, 21-8.

China kemudian mengukuhkan kedudukan 3-0 selepas Xu Wen Jing hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan Wong Ling Ching 21-14, 21-7 dalam aksi perseorangan kedua.

Malaysia bagaimanapun meraih satu mata menerusi beregu kedua apabila Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah Ramdan bangkit menewaskan Luo Yi–Wang Ting Ce 13-21, 21-18, 21-17 dalam perlawanan selama 65 minit.

Namun, China memastikan kemenangan apabila pemain perseorangan ketiga mereka Yuan An Qi terlalu ampuh buat Oo Shan Zi dengan kemenangan 21-11, 21-11 dalam perlawanan penutup.

Kekalahan itu tidak menjejaskan kemaraan skuad negara ke suku akhir kerana Kumpulan W hanya dibarisi China dan Malaysia, dengan dua pasukan teratas layak ke pusingan lapan terbaik. -BERNAMA