Hazman, Pan Gon puas hati aksi seri Terengganu-Selangor

Foto Facebook Selangor FC

KUALA NERUS, 2 Februari – Pemangku Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Selangor FC sebagai positif selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang dalam saingan Liga Super, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hazman anggap seri 1-1 positif kerana kedua pasukan bermain seimbang dan menunjukkan karakter serta kesungguhan pemain.
  • Terengganu masih bergelut dengan kehilangan fokus menyebabkan bolos walau cipta beberapa peluang.
  • Kim Pangon akui perlawanan sukar; bangga dengan pemain tetapi perlu perbaiki banyak aspek untuk kejar kedudukan.
  • Keputusan seri naikkan Selangor ke tangga kedua, Terengganu kekal di tempat kelima.

Beliau mengakui pasukannya masih berdepan isu kehilangan fokus yang menyebabkan jaringan mudah dilepaskan meskipun berjaya mencipta beberapa peluang.

“Kedua-dua pasukan bermain dengan baik tetapi sedikit kealpaan dan kekurangan fokus menyebabkan kami mudah dibolosi. Kami masih berjaya mencipta peluang, namun gagal menyudahkannya dengan baik dan perlu bekerja lebih keras dalam kedua-dua babak permainan,” katanya.

Beliau menambah, memperoleh satu mata ketika menentang pasukan sekuat Selangor FC tetap memberi gambaran positif terhadap karakter serta kesungguhan pemainnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan gon pula mengakui perlawanan itu sukar kerana Terengganu FC tampil agresif terutama pada separuh masa pertama.

“Keputusan ini bukan yang kami mahukan untuk memburu kedudukan kedua liga, tetapi saya tetap bangga dengan pemain. Kami masih mempunyai peluang dan perlu bekerja lebih keras serta memperbaiki banyak aspek permainan,” katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan Selangor FC naik ke tangga kedua liga dengan 32 mata hasil 10 kemenangan dan dua seri daripada 15 perlawanan.

Kuching FC kini di tangga ketiga, manakala Terengganu FC kekal di tangga kelima dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan dan empat seri daripada 16 perlawanan.