
KUALA LUMPUR, 31 Januari – Inisiatif pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan satu ikhtiar bagi memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan.
- Pemuliharaan memastikan sejarah Bangunan Sultan Abdul Samad terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman untuk masa depan.
- Projek selaras dengan inisiatif WARISAN KL dan memacu pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya serta peluang pekerjaan.
- Bangunan akan menempatkan Galeri Bandaraya KL dan Galeri Royal Selangor, mempamerkan sejarah tiga abad dan warisan seni kraf piuter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga selaras dengan inisiatif WARISAN KL dan pendekatan strategik kerajaan untuk menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama di Kuala Lumpur.
Sekali gus, menjadi pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya.
“Warisan adalah aset strategik yang mampu menjana kegiatan pelancongan, budaya, dan seni yang menggerakkan industri kreatif dan membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan termasuk dalam kalangan peniaga kecil.
“Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi antara manifestasi awal yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat seluruhnya.
“Bangunan ini akan menempatkan, pertama mempamerkan peranan Raja-Raja Melayu, menempatkan galeri Bandaraya KL yang menelusuri perjalanan bangunan ini dan ibu kota melalui ruang bertema merentasi 3 abad bersejarah dengan penyertaan pelbagai budaya dan kaum,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 di ibu negara.
Menerusi Belanjawan 2026, projek berkenaan akan meliputi kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, selain pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.
Bangunan Sultan Abdul Samad akan menempatkan Galeri Bandaraya Kuala Lumpur yang menelusuri perjalanan bangunan berkenaan dan ibu kota Kuala Lumpur melalui lima ruang bertema merentasi tiga abad sejarah.
Galeri Royal Selangor akan mempamerkan seni kraf piuter sebagai cerminan legasi ekonomi, kreativiti dan daya usaha masyarakat Kuala Lumpur yang lahir daripada sejarah perlombongan bijih timah.