Street Dakwah JAKIM, sampai mesej kebaikan kepada masyarakat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Januari– Pendekatan dakwah santai menerusi program Street Dakwah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya menarik kehadiran orang ramai di Tapak Busking Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Jumaat malam (30 Januari).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Street Dakwah JAKIM guna pendekatan santai dan interaktif untuk menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat.
  • Aktiviti seperti nasyid, kuiz dan sesi borak santun tarik pengunjung pelbagai latar belakang dalam suasana mesra.
  • Dakwah awam membantu menyemai nilai hormat, ihsan dan kesantunan serta mengukuhkan hubungan komuniti.

Program yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengetengahkan pengisian interaktif bagi menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat.

“Ini merupakan antara usaha kita untuk menyantuni masyarakat. Kita ingin menzahirkan kepada masyarakat bahawa Islam itu indah, Islam itu sentiasa terbuka serta membawa pendekatan yang rahmah dan penuh kasih sayang.”

“Kita tidak mahu Islam dilihat sebagai agama yang dipenuhi kemarahan, kebencian atau sekatan semata-mata. Sebaliknya, kita ingin menzahirkan dan memperlihatkan usaha kita dalam mengetengahkan keindahan Islam itu sendiri,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita.

Beliau ditemui ketika merasmikan Program Street Dakwah di Bukit Bintang, ibu negara.

Program tersebut dilihat berjaya menghimpunkan pengunjung dari pelbagai latar belakang dalam suasana santai dan mesra.

Antara pengisian utama termasuk persembahan nasyid oleh buskers, kuiz interaktif serta sesi borak santun dan edaran risalah ringkas berkaitan nilai kesantunan dan keharmonian.

Menurut beliau, dakwah di ruang awam bukan sahaja merapatkan hubungan dengan masyarakat, malah membantu menyemai nilai hormat, ihsan dan kesantunan dalam kehidupan seharian.

Cenderahati turut diberikan kepada pengunjung sebagai tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan mereka.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee serta Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan