
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Industri insurans dan takaful Malaysia memberi jaminan akan memastikan pelaksanaan pelan Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) asas berjalan lancar apabila diperkenalkan tahun hadapan, termasuk dari aspek pembayaran tuntutan dan penyelarasan dengan hospital.
- Industri komited memastikan tuntutan MHIT asas dibayar tepat pada masanya untuk elakkan kelewatan rawatan.
- Akan wujudkan komunikasi jelas antara pengendali insurans, takaful dan fasiliti kesihatan untuk penyelarasan lancar.
- Bekerjasama dengan Bank Negara bagi memuktamadkan perincian pelaksanaan sebelum pelancaran awal 2027.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memaklumkan industri bersedia memastikan tuntutan dibayar tepat pada masanya, selain mewujudkan komunikasi yang jelas dan berkesan antara pengendali insurans, takaful serta fasiliti kesihatan.
Menurut kenyataan itu, proses tuntutan yang cekap dan teratur penting bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan rawatan perubatan tanpa kelewatan, selari dengan matlamat pengenalan MHIT asas.
“MHIT merupakan satu inisiatif penting yang akan memperluas perlindungan kewangan bagi keperluan penjagaan kesihatan asas serta menyalurkan perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta dengan lebih cekap.
“Sehubungan itu, pihak industri mengalu-alukan dan menyokong sepenuhnya pengenalan pelan MHIT asas berpremium rendah di bawah Strategi RESET,” menurut kenyataan berkenaan.
Tambahnya, langkah tersebut dijangka mengukuhkan asas kepada pembaharuan sistem kesihatan yang lebih menyeluruh, sejajar pendekatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, yang menekankan peningkatan hasil kesihatan di samping memastikan pengurusan kos yang berdisiplin dan mampan.
Industri insurans dan takaful turut memaklumkan akan bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia bagi memuktamadkan perincian pelaksanaan serta aspek operasi pelan tersebut, dengan pelancarannya dijadualkan pada awal 2027.
Pelan MHIT asas itu dirangka sebagai pelengkap kepada pelan perubatan sedia ada yang akan terus ditawarkan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan perlindungan kesihatan kepada rakyat Malaysia.