Akuakultur teras perikanan moden

Pengerusi Lembaga Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil (duduk, tengah), bersama penerima peralatan menangkap ikan di Butterworth, Pulau Pinang/foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 26 Januari – Kerajaan memberi tumpuan serius terhadap pemerkasaan sektor akuakultur sebagai sumber utama perikanan negara susulan penyusutan sumber ikan laut serta tekanan pembangunan di kawasan pesisir pantai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akuakultur ditetapkan sebagai teras utama perikanan moden untuk menjamin bekalan makanan yang mampan menjelang 2030.
  • LKIM memperkukuh persatuan nelayan sebagai entiti perniagaan melalui inisiatif Satu Persatuan, Satu Perniagaan.
  • Program latihan dan kerjasama dengan syarikat swasta disusun untuk membimbing nelayan dalam aktiviti akuakultur dan hiliran.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sasaran pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2030 adalah sebanyak 40 peratus melalui sektor akuakultur, selaras dengan keperluan menjamin bekalan makanan yang mampan.

Menurut beliau, akuakultur kini bukan lagi sekadar bidang alternatif, sebaliknya telah menjadi teras utama perikanan moden, khususnya bagi nelayan pesisir pantai yang semakin terjejas akibat kekangan sumber ikan dan had lesen menangkap ikan.

“Kita tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada sumber ikan laut. Banyak negara kini memberi tumpuan kepada pemerkasaan akuakultur. Selain itu, kawasan pesisir pantai pula semakin terlibat dengan pembangunan yang secara tidak langsung mengurangkan sumber ikan kepada nelayan pesisir,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, dalam usaha memajukan sektor akuakultur, LKIM juga berhasrat memperkukuh persatuan nelayan sebagai entiti perniagaan yang berdaya maju.

Muhammad Faiz berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Ujong Batu, di sini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Pulau Pinang, Noor Azlida Mohad Khazin dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Ujong Batu, Alias Othman.

Setakat ini, kira-kira 20 PNK di seluruh negara terlibat secara aktif dalam bidang akuakultur, meningkat berbanding dua tahun lalu susulan pelaksanaan agenda Satu Persatuan, Satu Perniagaan (1P1P) yang menekankan penglibatan persatuan nelayan dalam aktiviti ekonomi.

Antara projek yang telah berjaya dilaksanakan termasuk ternakan udang di Johor, penternakan kerang di Melaka Barat, Lawas di Sarawak dan Ujong Batu, selain penglibatan dalam sektor hiliran seperti pemprosesan ikan serta pengoperasian restoran berasaskan makanan laut.

Dalam perkembangan berkaitan, LKIM kini sedang merangka program latihan akuakultur melibatkan nelayan di Pantai Merdeka, Kedah dan Pahang, dengan kerjasama syarikat swasta berpengalaman sebagai anchor player bagi membimbing nelayan secara langsung.

Pada majlis sama, seramai 31 nelayan PNK Ujong Batu menerima bantuan peralatan menangkap ikan, termasuk sumbangan sebuah enjin bot kepada seorang nelayan hasil sumbangan peribadi Pengerusi LKIM.