
KUALA LUMPUR, 27 Januari– Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim disambut mesra Presiden Rusia, Vladimir Putin di Muzium Hermitage, St Petersburg dalam satu pertemuan pada Isnin (26 Januari).
- Presiden Putin menyambut mesra Sultan Ibrahim di Muzium Hermitage, menandakan hubungan persahabatan erat antara Rusia dan Malaysia.
- Lawatan itu menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara dalam memperkukuh hubungan dua hala.
- Sultan Ibrahim ditunjukkan koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia semasa lawatan khas di muzium itu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke muzium berprestij dunia itu disambut mesra oleh Presiden Putin, sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta penghormatan tinggi Rusia terhadap Malaysia.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan berkenaan turut menyerlahkan peranan Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Muzium Hermitage yang ditubuhkan pada tahun 1755 merupakan antara muzium seni dan kebudayaan terbesar serta tertua di dunia, dengan koleksi melebihi tiga juta karya seni dan artifak bernilai tinggi.
“Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa dengan diiringi Presiden Putin meninjau sebahagian koleksi bersejarah dan karya seni bertaraf dunia yang dipamerkan di muzium berkenaan.”
“Lawatan khas julung kali Seri Paduka Baginda ke Saint Petersburg adalah atas jemputan khas Presiden Putin sekali gus melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,” menurut kenyataan itu.
Pada Ogos tahun lepas, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow bagi mengadakan Lawatan Negara sekali gus melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama berkunjung secara rasmi ke Persekutuan Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada tahun lepas sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.