
KUALA LUMPUR, 21 Januari – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya amalan rasuah, kepentingan peribadi serta komisen yang terpalit dalam perolehan Kementerian Pertahanan.
- Perdana Menteri kecam keras amalan rasuah, kepentingan peribadi dan komisen dalam perolehan Kementerian Pertahanan.
- Amalan rasuah merosakkan tadbir urus kerajaan, industri pertahanan dan mengkhianati amanah rakyat.
- Sukar merangka dasar pertahanan dan perolehan terbaik jika dipengaruhi kepentingan peribadi dan komisen.
- Tekankan pengukuhan tadbir urus, ketelusan dan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Pertahanan.
Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pihak agar menghentikan segera budaya yang disifatkan sebagai merosakkan negara dan industri pertahanan.
Beliau menegaskan amalan itu bukan sahaja menjejaskan tadbir urus kerajaan, malah mengkhianati amanah rakyat terhadap Angkatan Tentera yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan negara dan masa depan generasi akan datang.
“Sebab itu tidak boleh lagi kita teruskan dengan amalan bobrok yang merosakkan bukan sahaja kita sebagai negara, tetapi industri itu sendiri. Bayangkan harapan seluruh negara kepada satu angkatan untuk menjaga keselamatan kita, anak-anak kita dan masa depan kita, tetapi diringankan (diburukkan) dengan kepentingan-kepentingan peribadi,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di MITEC hari ini.
Beliau berkata adalah mustahil untuk merangka dasar pertahanan dan perolehan senjata terbaik sekiranya keputusan masih dipengaruhi kepentingan peribadi, komisen dan kekayaan, yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pimpinan politik serta penjawat awam.
“Mana mungkin kita tetapkan suatu dasar pertahanan dan perolehan senjata terbaik kalau kita masih diheret dengan kepentingan peribadi, dengan komisen, dengan kekayaan. Amaran keras ini tanpa kecuali,” katanya.
Perdana Menteri turut mengakui industri pertahanan merupakan antara sektor yang paling terdedah kepada amalan songlap dan cekau sekiranya tidak dikawal dengan sistem tadbir urus yang ketat dan telus.
“Saya rasa bagi yang mengikuti perkembangan industri pertahanan dan perolehannya, inilah salah satu ruang di mana amalan songlap dan cekau ini paling ganas. Sebab itu kita bermula dengan pengukuhan tadbir urus dan tata kelola yang sangat baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mengemudi kementerian berkenaan dengan prinsip integriti dan akauntabiliti.