
BEIJING, 20 Januari – China mengesahkan bahawa negara itu telah menerima jemputan untuk menyertai “Lembaga Keamanan” yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
- Beijing mengesahkan telah menerima jemputan AS untuk menyertai Lembaga Keamanan namun belum mengumumkan keputusan muktamad.
- Lembaga itu dicadangkan untuk menyelia pembinaan semula Gaza tetapi piagamnya tidak mengehadkan skop peranan.
- China menegaskan hubungan dengan AS kekal stabil dan kerjasama lebih menguntungkan daripada konfrontasi.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata jemputan tersebut telah diterima pihak Beijing.
Namun tidak memperincikan sama ada China akan menerima atau menolak penyertaan dalam lembaga berkenaan.
“China telah menerima jemputan daripada Amerika Syarikat,” kata Guo dalam sidang media berkala.
Lembaga itu pada asalnya dicadangkan bagi menyelia usaha pembinaan semula Gaza yang musnah akibat peperangan, namun piagamnya tidak memperincikan had peranan dan tidak mengehadkan skopnya kepada wilayah Palestin yang diduduki.
Washington dilaporkan telah menjemput beberapa pemimpin dunia untuk menganggotai lembaga tersebut, yang akan dipengerusikan oleh Trump, termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
Mengulas hubungan dua hala Beijing-Washington, Guo berkata hubungan China-AS mengekalkan kestabilan secara keseluruhan sepanjang tahun lalu, meskipun berdepan ketegangan akibat perang perdagangan yang menyaksikan kedua-dua negara mengenakan tarif balas terhadap produk masing-masing.
“Sepanjang tahun lalu, hubungan China-AS telah melalui turun naik, namun secara keseluruhannya kekal stabil dan dinamik,” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama antara China dan Amerika Syarikat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, manakala konfrontasi hanya akan membawa kesan buruk.
“Kerjasama antara China dan AS menguntungkan kedua-dua negara, manakala pertembungan akan memudaratkan semua pihak,” tambahnya. – AFP