JPJ Perak terima 14 unit Alat Perakam Badan

Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd Azmi Jaafar

IPOH, 16 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Perak menerima 14 unit Alat Perakam Badan (BWC).

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Perak mengagihkan 14 unit Alat Perakam Badan kepada cawangan Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar.
  • Penggunaan BWC melibatkan anggota lapangan, perkhidmatan kaunter dan institut memandu bagi memperkukuh ketelusan dan integriti.
  • Rakaman BWC dipantau masa nyata di ibu pejabat; prosedur menghidupkan dan mematikan ditetapkan termasuk pengecualian kawasan sensitif.

Timbalan Pengarah JPJ Perak, Mohd Azmi Jaafar berkata, alat tersebut telah diagihkan kepada tiga cawangan, melibatkan cawangan JPJ Ipoh, JPJ Taiping dan JPJ Kuala Kangsar.

“JPJ Ipoh menerima lapan unit BWC, manakala empat di cawangan Taiping, dan bakinya di Kuala Kangsar,” katanya pada sidang media Op Khas 9 Kesalahan Utama di Ipoh.

Menurut beliau lagi, penggunaan alat tersebut tidak tertakluk kepada anggota penguatkuasa di lapangan tetapi turut merangkumi perkhidmatan di kaunter dan institut memandu.

Langkah itu bertujuan bagi memperkukuh ketelusan dan integriti penyampaian perkhidmatan.

Jelas beliau lagi, rakaman kamera badan itu dipantau secara masa nyata oleh pihak ibu pejabat.

“Prosedur penggunaanya, anggota bertugas hanya menghidupkannya (Alat Perakam Badan) ketika mula bertugas, dan mematikan alat tersebut ketika habis bertugas. Kecuali ia melibatkan kawasan bertugas yang sensitif atau tidak membolehkan rakaman, alat boleh dimatikan. Alat ini memberi signal kepada pemantau termasuk ketika ia dihidupkan dan dimatikan.” katanya.

Pada sidang sama, media turut dimaklumkan, penggunaan BWC dalam Op Khas 9 Kesalahan Utama.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 4,824 kesalahan dikesan JPJ Perak sepanjang pelaksanaan operasi khas itu tahun lalu.

Antara kesalahan terbesar direkodkan iaitu tidak memakai tali pinggang keledar hadapan, kegagalan mematuhi lampu isyarat, dan tidak memakai topi keledar.