
SERDANG, 22 April – Mekanisme pengesanan awal perlu diperkukuh sebagai langkah proaktif menangani isu peningkatan ketara bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di negara ini.
- Perlu integrasi data agensi dan kerjasama komuniti, fasiliti kesihatan, Jabatan Kebajikan dan institusi keagamaan untuk pengurusan warga emas.
- Perkukuh sistem sokongan berasaskan rumah dan komuniti; libatkan jiran, sukarelawan serta pusat aktiviti warga emas sebagai rangkaian sokongan harian.
- Angkat isu penuaan sebagai agenda lintas sektor; kembangkan perkhidmatan kesihatan bergerak, pengangkutan komuniti dan program outreach luar bandar.
Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, perkara itu boleh dilaksanakan melalui integrasi data antara agensi dan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, fasiliti kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi keagamaan.
“Terdapat keperluan tindakan strategik yang lebih tersusun dan berimpak, antaranya memperkukuh sistem sokongan berasaskan rumah dan komuniti dengan penglibatan aktif jiran, sukarelawan serta pusat aktiviti warga emas sebagai rangkaian sokongan harian,” tambahnya menerusi kenyataan.
Terdahulu media melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyebut berlaku peningkatan ketara bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di Malaysia, seperti dilaporkan dalam dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025.
Menurut Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, perkembangan itu bukan sekadar perubahan gaya hidup, sebaliknya mencerminkan peralihan struktur sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup warga emas.
“Apabila semakin ramai warga emas tinggal bersendirian, kita tidak boleh lagi melihat penjagaan mereka sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata. Realitinya, perubahan demografi dan tekanan ekonomi hari ini menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan berasaskan komuniti,” katanya.
Tambah beliau, data semasa menunjukkan peningkatan ketara warga emas yang hidup bersendirian atau hanya bersama pasangan, didorong oleh faktor seperti saiz keluarga yang semakin kecil, penghijrahan generasi muda ke bandar, serta perubahan keupayaan ekonomi isi rumah.
Mengulas lanjut, Prof. Madya Dr. Rahimah menjelaskan bahawa situasi itu turut mendedahkan warga emas kepada pelbagai risiko yang memerlukan perhatian segera.
“Situasi ini membawa risiko pelbagai dimensi, termasuk kelewatan mendapatkan rawatan kesihatan, isu keselamatan dalam situasi kecemasan tanpa pemantauan, serta cabaran psikososial seperti isolasi dan kemurungan yang tidak dikesan.
Dalam konteks ini, kebergantungan sepenuhnya kepada institusi keluarga sebagai sistem penjagaan utama tidak lagi mencukupi,” jelas beliau.
Beliau turut mencadangkan bahawa cabaran akses perkhidmatan, termasuk kekangan pengangkutan yang dibangkitkan dalam dapatan NHMS 2025, perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keupayaan warga emas mendapatkan rawatan secara konsisten.
Tambah beliau, penyediaan perkhidmatan kesihatan bergerak, pengangkutan komuniti serta program outreach di kawasan luar bandar juga perlu diperluas bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada akses penjagaan kesihatan.
Pada masa sama, isu penuaan wajar diangkat sebagai agenda dasar merentas sektor yang melibatkan penyelarasan antara bidang kesihatan, kebajikan, perumahan, pengangkutan dan pembangunan komuniti, selaras dengan konsep bandar dan komuniti mesra usia.
Malaysia dijangka mencapai status negara menua dalam dekad akan datang. Justeru, fenomena peningkatan warga emas tinggal bersendirian perlu dilihat sebagai petunjuk awal kepada keperluan membangunkan sistem penjagaan jangka panjang yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap realiti semasa.
“UPM komited untuk terus menyumbang melalui penyelidikan, sokongan dasar dan intervensi komuniti bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dapat melalui proses penuaan secara bermaruah dan sejahtera,” katanya.