
BUTTERWORTH, 22 April – Lebih banyak syarikat swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) diharap dapat membantu mewujudkan ‘Kedai Jujur’ di sekolah.
- Lebih banyak syarikat swasta dan GLC dijangka membantu mewujudkan 'Kedai Jujur' di sekolah.
- Inisiatif SPRM bertujuan memupuk integriti dan amanah dalam kalangan murid sejak peringkat awal.
- Operasi berbentuk kios tanpa penjaga; pelajar mengambil barang dan membayar sendiri.
- Syarikat yang melabur boleh memohon pengecualian cukai melalui SPRM kepada Kementerian Kewangan.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Datuk Karunanithy Y. Subbiah berkata usaha itu bukan sahaja dapat membantu memupuk integriti dan amanah dalam kalangan murid sekolah, tetapi membolehkan syarikat swasta dan GLC terlibat memanfaatkan pengecualian cukai.
Inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu beroperasi dalam bentuk kios tanpa penjaga, di mana pelajar mengambil barang dan membayar sendiri, bertujuan membina benteng awal menentang salah laku sejak kecil.
“Kedai Jujur ni, itu adalah satu cadangan ketika saya menjawat jawatan sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang, di mana dalam inisiatif pengecualian cukai, kita boleh meminta pihak-pihak swasta dan GLC untuk tampil ke hadapan melibatkan diri dalam aktiviti pencegahan membabitkan orang luar, contohnya murid-murid sekolah.
“Mereka akan mendapat pengecualian cukai ke atas perbelanjaan yang mereka telah gunakan. Contohnya, katakan dalam kedai Jujur, mereka melabur RM50,000 untuk menjayakannya. Jadi, mereka boleh mohon pengecualian cukai melalui SPRM kepada Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Program Wira Anti Rasuah bersama SPRM di Sekolah Kebangsaan St Mark di Perai, Pulau Pinang.
Inisiatif ‘Kedai Jujur’ merupakan usaha murni untuk membentuk generasi muda yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.