STRIDE perkasa inovasi pertahanan, kurangkan kebergantungan luar

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Nor Azlan Mohd Ramli/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 April – Penguasaan teknologi tempatan terus diperkukuh bagi memastikan kesiagaan pertahanan negara tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak luar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara, STRIDE memacu R&D strategik bersama syarikat tempatan.
  • Semua projek R&D dilaksanakan secara kerjasama menurut kepakaran, termasuk integrator sistem dan pembangun perisian.
  • STRIDE menjadi penghubung antara industri dan Angkatan Tentera Malaysia untuk memastikan teknologi memenuhi keperluan operasi.
  • Teknologi pertahanan bersifat 'dual-use', menyokong keselamatan ekonomi serta aplikasi awam seperti bencana, pertanian, logistik perubatan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Nor Azlan Mohd Ramli berkata usaha itu selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Menurutnya, STRIDE melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara strategik bersama syarikat tempatan bagi memacu inovasi pertahanan negara.

“Semua projek R&D dilaksanakan melalui kerjasama dengan syarikat tempatan mengikut kepakaran masing-masing, termasuk sebagai integrator sistem dan pembangun perisian”.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama RTM bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di ibu negara.

Tambahnya, pendekatan itu bukan sahaja membangunkan teknologi, malah membolehkan industri tempatan menguasai kepakaran kritikal.

STRIDE turut bertindak sebagai penghubung antara industri dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan teknologi yang dibangunkan memenuhi keperluan operasi.

Kerjasama antarabangsa tidak diketepikan, namun penyesuaian teknologi luar diberi penekanan supaya dapat dikuasai sepenuhnya oleh industri tempatan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan kita bukan sekadar pengguna, tetapi pemilik dan pembangun teknologi,” katanya.

Beliau berkata pembangunan teknologi pertahanan juga memberi impak kepada keselamatan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Teknologi yang dibangunkan mempunyai potensi penggunaan dalam sektor awam termasuk pengurusan bencana, pertanian dan logistik perubatan.

“Teknologi pertahanan kini bersifat ‘dual-use’, bukan sahaja meningkatkan keselamatan negara, malah memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.