
MELAKA, 22 April – Lebih 2,000 pengunjung disasar memeriahkan Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Melaka bermula Jumaat ini (24 April).
- Platform kerjasama persekutuan dan negeri untuk pengurusan strategik serta kesinambungan penggunaan sumber air
- Inisiatif mendidik rakyat tentang kepentingan menghargai air dan kaedah penjimatan untuk konservasi sumber air
- Melaka diposisikan sebagai negeri barisan hadapan memperkasakan kelestarian air melalui program bertema 'Air Milik Semua'
Program selama dua hari di Dataran Tanjung Bidara itu merupakan platform terbaik dalam mempamerkan komitmen antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dalam menjamin pengurusan strategik sumber air dan kesinambungan penggunaan air oleh setiap lapisan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad berkata, sebanyak enam van ulang-alik disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung, sekali gus melancarkan aliran trafik.
“Penganjuran sambutan hari air ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada seluruh rakyat, khususnya pengunjung tentang kepentingan menghargai air dan sumber air dan juga diharap dapat meningkatkan pengetahuan tentang kaedah-kaedah penjimatan untuk konservasi air dan sumber air,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam segmen ‘Kokenut Shake Dulu’ di Konti Melakafm bersempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Menurut Datuk Azhar, sambutan bertemakan ‘Air Milik Semua’ itu secara tidak langsung meletakkan Melaka sebagai negeri barisan hadapan dalam melaksanakan usaha dan inisiatif memperkasakan kelestarian air negara.