
TANGIER, 15 Januari– Jaringan dramatik Sadio Mane pada minit ke-78 membawa Senegal ke pentas akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), selepas menewaskan Mesir 1-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung tegang, awal pagi tadi.
- Sadio Mané berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-78 membawa Senegal ke perlawanan akhir AFCON.
- Senegal menguasai perlawanan manakala Mesir gagal menghasilkan percubaan tepat atau sepakan penjuru.
- Kalidou Koulibaly cedera dan digantung, tetapi jurulatih Pape Thiaw yakin skuad mampu hadapi aksi akhir tanpa beliau.
- Senegal akan berdepan tuan rumah Maghribi di final selepas Maghribi menewaskan Nigeria menerusi penalti.
Gol tunggal perlawanan itu hadir hasil rembatan padu Mane, sekali gus mengesahkan dominasi Senegal yang menguasai perlawanan.
Pasukan Mesir yang diketuai Mohamed Salah, gagal mencipta sebarang percubaan tepat atau memperoleh sepakan penjuru sebelum dibolosi.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Mane berkata kesabaran menjadi kunci kejayaan Senegal dan kemenangan itu dianggap layak berdasarkan corak permainan pasukannya.
Senegal bagaimanapun kehilangan kapten pasukan, Kalidou Koulibaly, yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pangkal paha pada pertengahan babak pertama, selain digantung perlawanan akhir susulan kad kuning yang diterimanya.
Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, tetap optimis dan menegaskan skuadnya memiliki barisan pemain yang mencukupi untuk menggalas cabaran pada aksi akhir meskipun tanpa kehadiran Koulibaly.
Sementara itu, ketua jurulatih Mesir, Hossam Hassan, memuji komitmen pemainnya sepanjang kejohanan namun mengkritik jadual perlawanan yang didakwa memberi kelebihan kepada Senegal dari segi lokasi dan tempoh rehat.
Senegal seterusnya akan menentang tuan rumah Maghribi di pusingan akhir selepas pasukan itu menewaskan Nigeria 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit perlawanan di Rabat, Maghribi. -REUTERS