Bantuan kerajaan pelengkap pendapatan, ringankan beban kos sara hidup rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan awal persekolahan serta insentif di peringkat negeri berperanan penting sebagai pelengkap pendapatan isi rumah mendepani peningkatan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan seperti STR, SARA dan BAP berperanan melengkapkan pendapatan isi rumah menghadapi kos sara hidup meningkat.
  • SARA termasuk one-off RM100 dan bantuan bulanan RM50–RM200 untuk B40 dianggap langkah positif.
  • Inisiatif negeri seperti BINGKAS Selangor beri RM300 sebulan kepada keluarga B40 berpendapatan bawah RM5,000.
  • Golongan M40 dan T20 turut manfaat melalui pelepasan cukai sehingga RM3,000 untuk perbelanjaan penjagaan anak.

Perunding Kewangan, Syuhaib Ithnin, berkata bantuan tersebut bukan penyelesaian mutlak kepada isu pendapatan rendah, tetapi penting sebagai sokongan memandangkan peningkatan gaji rakyat tidak seiring dengan peningkatan harga barangan.

“Antara bantuan yang wajar dimanfaatkan rakyat ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diberikan secara menyeluruh kepada semua golongan, selain STR yang memberi kelegaan kepada kumpulan B40.

“Pengumuman terbaharu kerajaan berkaitan SARA juga disifatkan sebagai langkah positif apabila melibatkan bantuan one-off RM100 kepada seluruh rakyat Malaysia serta SARA bulanan antara RM50 hingga RM200 kepada golongan B40 yang layak”, katanya dalam program Biz Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.

Beliau turut menekankan peranan kerajaan negeri seperti inisiatif BINGKAS di Selangor yang menawarkan RM300 sebulan kepada keluarga B40 berpendapatan bawah RM5,000, disamping bantuan persekutuan sedia ada.

Dalam masa sama, golongan M40 dan T20 turut mendapat manfaat menerusi pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi perbelanjaan penjagaan anak seperti tadika dan rumah transit, yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.