Terbuka Malaysia 2026: Sze Fei-Nur Izzudin, Pearly-Thinaah tersingkir

Aksi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan gandingan wanita, Pearly Tan-M Thinaah pada saingan Terbuka Malaysia 2026/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Januari – Perjuangan beregu profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani pada saingan Terbuka Malaysia 2026 terhenti di pusingan kedua selepas tewas kepada wakil England, Ben Lane-Sean Vendy.

RINGKASAN BERITA AI
  • Goh Sze Fei–Nur Izzuddin tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada Ben Lane–Sean Vendy dalam dua set.
  • Pearly Tan–M Thinaah tewas mengejut kepada pasangan Indonesia Febriana–Meilysa, kalah dalam dua set ketat.
  • Kedua-dua pasangan negara gagal ulangi kemenangan terakhir masing-masing, menamatkan cabaran awal di Terbuka Malaysia 2026.

Saingan di Axiata Arena menyaksikan, gandingan ranking ketujuh dunia itu tewas mudah set pertama 13-21.

Meskipun Sze Fei-Nur Izzudin berjaya meningkatkan rentak permainan pada set berikutnya, namun itu belum cukup untuk menyekat kemaraan lawan di ranking ke-16 dunia itu yang menang 21-17.

Ini merupakan kekalahan kedua dialami wakil negara itu kepada Lane-Vendy.

Kali pertama mereka bertemu adalah semasa Terbuka Denmark 2025, Oktober lalu.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah turut menerima nasib sama apabila tewas mengejut di tangan pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari.

Aksi set pertama menyaksikan kedua-dua pasangan berbalas mata dalam perlawanan sengit sebelum Pearly–Thinaah tewas 24-26.

Usaha wakil negara untuk mengheret perlawanan ke set penentuan tidak kesampaian apabila kembali kecundang 17-21 pada set kedua.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah menewaskan pasangan ranking ke-60 dunia itu pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu menerusi pertarungan tiga set.