fb fb fb fb fb

Video Hari Bapa Selangor FC raih pujian warganet

Syot layar pemain Gergasi Merah diiringi ayah masing-masing masuk ke padang di Stadium MBPJ/Instagram SelangorFC

KUALA LUMPUR, 16 Jun - Setiap kali menjelang Hari Bapa, kita pasti menantikan kisah-kisah pengorbanan seorang ayah terhadap keluarganya.

Kisah-kisah inspirasi yang membuatkan kita lebih menghargai sosok seorang ayah.

Namun, tiada siapa menyangka ada kelainan yang disampaikan oleh Kelab Bola Sepak Selangor.

Keinginan untuk menjadi pemain bola sepak mungkin tidak tercapai sekiranya tidak mendapat restu daripada seorang ayah.

Apatah lagi jika ada yang skeptikal terhadap profesion sebagai pemain bola.

Sempena Hari Bapa pada hari ini, video dari pasukan Red Giants itu meraih pujian dan mendapat reaksi positif warga netizen.

Menerusi hantaran di Instagram Selangor FC, kelihatan para pemain berarak masuk ke padang bersama ayah masing-masing sebelum memulakan perlawananan Piala FA Selangor FC lawan Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

"Inilah saatnya momen bersama keluarga di MBPJ Stadium sempena Hari Bapa sebelum memulakan perlawanan. Lebih daripada bola sepak," menurut kapsyen video itu.

Kehadiran pemain Gergasi Merah mendapat tepukan gemuruh dan disambut dengan tulisan Selamat Hari Bapa yang dipaparkan pada papan skor stadium itu.

Kebiasaannya kita melihat pemain bola sepak masuk ke padang diiringi kanak-kanak, sebaliknya dalam video tersebut pemain Selangor FC memimpin tangan ayah mereka dan menyanyikan lagu Negaraku bersama.

Video berdurasi seminit itu meraih tontonan lebih 83,000 dan mendapat 6,589 suka dan ratusan komen pengikut @Selangorfc.

"Serius kreatif SFC, macam mana korang boleh terfikir nak bawa bapa-bapa iringi ke padang? Ada sedikit momen menyentuh perasaan," kata pengikut media sosial terbabit @Sekampadimalaya.

"Tak pernah lagi aku nampak macam ni. Sangat kreatif dan tabik hormat untuk SFC! Sungguh bermakna," kata @Saibiesaiba.

"Comel je ayah-ayah pemain, mesti ayah masing-masing bangga," kata @Chietiez.

Hari Bapa disambut pada Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun bagi menghargai peranan seorang ayah.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN