fb fb fb fb fb

Tenis: Simona Halep umum persaraan

Bekas pemain tenis wanita nombor satu dunia, Simona Halep umum persaraan / Foto AFP

BUCHAREST, 5 Februari-Bekas pemain tenis nombor satu dunia, Simona Halep, mengumumkan persaraannya pada Selasa selepas tewas di pusingan pertama kejohanan WTA Cluj-Napoca di tanah airnya, Romania.

Pemain berusia 33 tahun itu tewas 6-1, 6-1 kepada pemain Itali yang berada di ranking ke-72 dunia, Lucia Bronzetti.

"Saya tidak pasti sama ada saya gembira atau sedih ketika bercakap kepada anda, tetapi saya membuat keputusan ini dengan penuh kesedaran.

"Badan saya tidak lagi mampu mengikut rentak, tetapi hari ini saya mahu bermain dan mengucapkan selamat tinggal di atas gelanggang," kata Halep kepada para penyokong di Romania.

Juara Grand Slam dua kali itu, yang berusaha untuk kembali ke puncak karier selepas digantung akibat doping, menarik diri daripada kelayakan Terbuka Australia bulan lalu kerana mengalami kesakitan di lutut dan bahu.

Halep kembali ke gelanggang pada Mac tahun lalu selepas kariernya terhenti sejak 7 Oktober 2022, berikutan ujian positif bagi bahan roxadustat di Terbuka AS.

Pemenang Terbuka Perancis 2018 dan Wimbledon 2019 itu kemudian terbabit dalam kes kedua melibatkan "ketidakteraturan" dalam data pasport biologi beliau.

Dia digantung bermain selama empat tahun oleh ITIA, namun berjaya merayu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan alasan ujian positifnya berpunca daripada suplemen yang tercemar.

Halep menafikan pengambilan doping secara sengaja, dan hukuman penggantungannya dikurangkan daripada empat tahun kepada sembilan bulan.

Namun, dia tidak berjaya kembali ke prestasi yang pernah membawanya ke kedudukan nombor satu dunia pada Oktober 2017, posisi yang dipegangnya selama 64 minggu sepanjang kariernya.

Sepanjang 19 tahun kariernya, Halep memenangi 24 gelaran WTA termasuk Terbuka Perancis 2018 dan Wimbledon 2019.

Dia juga pernah mara ke tiga final Grand Slam lain iaitu Terbuka Perancis 2014 dan 2017 serta Terbuka Australia 2018.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD