Rakyat disaran amal gaya hidup sihat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Masyarakat diseru supaya sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan merupakan aset paling berharga bagi setiap individu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program larian komuniti membina asas kesihatan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan.
  • Aktiviti sampingan termasuk persembahan nyanyian, senamrobik, saringan kesihatan dan taklimat keselamatan telefon.
  • Program bertema "Berlari Bersama, Lebih Sihat" menarik hampir 1,000 peserta termasuk warga emas dan disarankan diteruskan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program seperti larian komuniti menjadi contoh kepada pembinaan asas kesihatan yang baik, selain memperkukuh hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

“Anak-anak kita mungkin sibuk dengan kerja masing-masing, kerjaya masing-masing dan keluarga masing-masing. Kini, kita juga hidup lebih lama. Oleh itu, kita mesti berdikari dan menjalani kehidupan yang sihat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Cheras Family Fun Run 2026 di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, hari ini.

Program larian yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk persembahan nyanyian, senamrobik, saringan kesihatan dan taklimat keselamatan penggunaan telefon yang disampaikan oleh pegawai daripada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Program dan aktiviti seperti ini perlu kita galakkan, terutama dalam kalangan penduduk setempat, kerana ia turut menarik penyertaan warga emas,” katanya.

Dengan tema “Berlari Bersama, Lebih Sihat”, program tersebut berjaya menarik hampir 1,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur, termasuk penduduk setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.