ISKANDAR PUTERI, 20 April- Kelab Johor Darul Takzim (JDT) akan menilai semula tahap kecergasan pemain import, Leandro Velazquez, Fernando Foriesteri dan Bergson Da Silva, menjelang aksi ketiga Liga Juara-juara Asia, menentang Kawasaki Frontale, esok.
Ia berikutan faktor keletihan dialami pemain-pemain tersebut selepas aksi sengit menentang Ulsan Hyundai, Isnin lalu.
Selain itu, Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora juga bakal kehilangan penjaga gol, Haziq Nadzli yang cedera bahu ketika perlawanan menentang kelab Korea Selatan itu.
"Kami harap Haziq dapat kembali secepat mungkin, dia masih muda, saya yakin dia akan pulih dengan cepat, dia mempunyai daya pemikiran yang baik, dia akan kembali, jadi saya tidak tahu siapa yang akan bermain esok, sama ada Farizal atau Izham," kata Mora dalam sidang media perlawanan JDT menentang Kawasaki Frontale.
Bagi pemain, Matthew Davies sedia berdepan pasukan elit Jepun itu dan akan mengekalkan tempo permainan.
"Kami jangkakan satu perlawanan yang mencabar tetapi kami telah buktikan cara kami bermain, cara kami memberi tekanan, kami mahu kekal bermain cara JDT," kata Matt Davies kepada media.
(Foto FB JDT)
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki berkata pasukannya akan bermain dengan rentak permainan tersendiri bagi perlawanan esok.
Skuadnya perlu fokus memberikan aksi terbaik bagi meneruskan rekod memperoleh mata dalam ACL musim ini.