HANOI, 8 Mei- Persembahan cemerlang atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dalam saingan final acara 1 meter (m) papan anjal individu wanita menghadiahkan Malaysia pingat emas pertama Sukan SEA ke-31 di Pusat Akuatik My Dinh.
Ia juga adalah acara yang menawarkan pingat emas pertama sebelum upacara pembukaan rasmi yang dijadual berlangsung Khamis ini.
Nur Dhabitah yang telah memenangi empat pingat emas sepanjang penyertaannya di temasya sukan dwitahunan itu, berjaya menambah koleksi emasnya selepas mengumpul 290.45 mata dalam lima terjunan.
Lebih membanggakan, Malaysia berjaya menamatkan saingan itu dengan kedudukan podium 1-2 selepas atlet muda, Kimberly Bong Qian Ping berjaya merangkul pingat perak dengan kutipan 230.00 mata.
Pingat gangsa dimenangi atlet tuan rumah Ngo Phuong Mai yang mengutip 224.00 mata.
Dalam pada itu, Nur Dhabitah berpeluang merangkul pingat emas keenamnya apabila bakal bergandingan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dalam acara 10m platform seirama pada Rabu ini di venue sama.
Sementara itu, Malaysia turut merangkul pingat emas kedua menerusi gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki.
Kejayaan itu menyaksikan Yi Wei-Tze Liang berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.
Pada saingan hari ini, gandingan negara berjaya mengumpul 395.79 mata dalam enam terjunan untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengutip 305.64 mata.
Tiada pemenang pingat gangsa apabila hanya dua negara bertanding dalam acara itu.
Esok, Tze Liang akan meneruskan cabaran kem terjun negara apabila bakal turun beraksi dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di venue sama.
Sukan SEA ke-31 dijadual bermula dari 12 hingga 23 Mei ini dengan beberapa jenis sukan antaranya bola sepak dan terjun memulakan saingan lebih awal.
(Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang rangkul emas kedua untuk kontinjen negara)