fb fb fb fb fb

Stadium Nasional kurang memuaskan untuk final Piala Malaysia, PSM mohon maaf

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, yang juga pemilik kelab JDT berkenan meninjau keadaan padang dan sesi latihan rasmi JDT menjelang aksi final Piala Malaysia 2023 di SNBJ hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023 susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia, malam esok. 

PSM dalam kenyataannya memaklumkan permohonan maaf itu turut ditujukan kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC serta penyokong kedua-dua pasukan berkenaan.

“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November lepas,” menurut kenyataan itu. 

PSM bagaimanapun memaklumkan pihaknya sentiasa komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara di SNBJ pada masa hadapan. 

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim, yang juga pemilik kelab JDT meninjau keadaan padang dan sesi latihan rasmi JDT menjelang aksi final Piala Malaysia 2023 di SNBJ hari ini. 

Isnin lepas, permukaan padang SNBJ sekali lagi tular dan menjadi perhatian selepas Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di SNBJ yang mula ditanam tahun ini.

Final Piala Malaysia 2023 bakal menyaksikan juara bertahan JDT menentang Terengganu FC.

ZEHRA BINTI ZAMBRI