fb fb fb fb fb

Skuad teqball di fasa akhir persiapan ke Sukan SEA Thailand

Foto Bernama

DAMANSARA, 18 November - Skuad teqball negara memasuki fasa akhir persiapan dengan memberi tumpuan penuh kepada pemantapan taktikal menjelang Sukan SEA Thailand bulan depan, termasuk memastikan setiap pemain berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi cabaran tuan rumah.

Jurulatih kebangsaan, Hasnor Ibrahim berkata, persiapan kali ini lebih terperinci apabila beliau menjalankan analisis mendalam melalui tayangan video bagi menilai setiap pergerakan, corak permainan dan kelemahan pemain.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kekurangan dapat dikenal pasti lebih awal sekali gus diterjemahkan menjadi kelebihan buat Malaysia apabila beraksi di pentas sebenar.

“Untuk sukan teqball, kita memang menekankan aspek serangan dan pertahanan kerana dua perkara ini memang sangat penting permainan ini. Kalau kita menyerang dengan bagus tapi kita tak ada pertahanan yang baik, kita tak boleh nak buat sesuatu untuk dapat keputusan cemerlang.

“Maksudnya, kita memang kena tekankan dari segi serangan dan bertahan. Saya kaji permainan mereka untuk kenal pasti kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Sekarang saya fokus pada kelemahan itu dan menambah baiknya,” katanya selepas lawatan Chef de Mission (CDM) negara ke temasya sukan itu, Nurul Huda Abdullah, di sini hari ini.

Hasnor turut memaklumkan bahawa pemain kini berada dalam momentum positif dan menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil sesi latihan intensif yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, pemain negara, Faris Farizal, optimis skuad Malaysia mampu menampilkan prestasi meyakinkan dan membawa pulang pingat walaupun menyedari kekuatan Thailand selaku pasukan pilihan.

“Untuk sasaran, bagi perseorangan lelaki dan wanita, kita cuba gangsa, bagi beregu lelaki (perak) dan beregu wanita (gangsa). Dari saingan, sudah pasti Thailand sebab kedudukan sekarang pun, Thailand berjaya dapatkan ranking nombor satu dekat dunia sekarang.

“Sebagai pencabar utama kita, sudah pasti kita meneliti cara mereka bermain, bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan situasi serta mengawal permainan. Dari situ, kita ambil sedikit daripada pendekatan latihan dan tip mereka, kemudian terapkan dalam pasukan kita,” katanya.

Keyakinan pasukan turut diperkukuh dengan pencapaian bersejarah di Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain, Oktober lalu, apabila meraih dua pingat gangsa.

AZRUL FAIZAL JUSOH