fb fb fb fb fb

RLIR 2024: Pasukan Witchcraft terus pamer dominasi

Aksi hari kedua Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2024

LANGKAWI, 18 Januari- Pasukan Witchcraft dari Hong Kong terus mengungguli kategori Racing selepas memenangi tiga perlumbaan berturut-turut pada hari kedua Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2024.

Witchcraft, dikemudi, Nick Burns, mengumpul dua mata penalti selepas memenangi perlumbaan pertama dan kedua semalam, mempamerkan corak pelayaran konsisten untuk berada di kedudukan pertama dengan lima mata penalti.

Pasukan itu mendahului perlumbaan kategori utama selepas dua hari bersaing, sekali gus meninggalkan tiga pasukan tuan rumah, 'The Next Factor’, ‘Uranus’ dan ‘Zuhal yang masing-masing mengumpul 10, 15 dan 20 mata penalti.

Jurumudi berpengalaman, Burns berkata pasukannya berjaya mengekalkan momentum dengan kelajuan angin yang cukup baik sekitar 18 knot untuk terus menungguli perlumbaan dan berharap keadaan tiupan angin terus kekal pada saingan seterusnya.

Sementara itu dalam kelas IRCI, wakil Malaysia, Mata Hari, yang berada di kedudukan kedua semalam, berjaya mengikat kedudukan mata dengan pasukan Char Chan selepas empat perlumbaan.

Pada perlumbaan ketiga dan keempat, Mata Hari berkongsi tujuh mata penalti dengan pasukan Char Chan dari Jepun, diikuti pasukan Endeavour of Whitby dari Australia dan pasukan Phoenix dari Thailand yang kedua-duanya berkongsi 15 mata penalti.

Perlumbaan hari ketiga pada hari ini merupakan hari penting buat semua pasukan di mana perlumbaan mengelilingi pulau akan diadakan.

RLIR 2024, yang memasuki edisi ke-20 tahun ini, disertai 32 bot dengan lebih 240 pelayar bermula 16 hingga 20 Januari, dengan enam kelas pertandingan Racing, IRC1, IRC2, Sportsboat, Multihull dan Club Class.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE