DOHA, 19 Januari- Australia mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik, selepas mengatasi Syria 1-0 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan di Stadium Jassim Bin Hammad.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Pemain tengah, Jackson Irvine pada babak kedua.
Jaringan itu sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua kepada skuad Socceroos kendalian Graham Arnold, yang kini mengumpul enam mata berbaki satu aksi kumpulan.
Syria bimbingan Hector Raul lebih menguasai permainan, terutama pada separuh masa pertama.
Namun, Australia memecah kebuntuan menerusi penyudah dari jarak dekat Irvine minit ke-59.
Australia, juara 2015, bakal menutup kempen saingan Kumpulan B dengan bertemu Uzbekistan, Selasa ini.
Manakala Syria perlu menundukkan India untuk mencerahkan peluang ke pusingan kalah mati pada hari sama.