KELANA JAYA, 28 Januari - Penyerang muda, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menyifatkan kem latihan pusat skuad Bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 bulan depan sebagai medan terbaik pemain membuktikan kemampuan.
Jelas pemain Terengganu II itu, ketiadaan tonggak utama, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal Mahadi wajar diambil kesempatan semua pemain untuk menambat hati jurulatih B-23 negara, Brad Maloney.
Katanya, ia juga kesempatan terbaik kepada beberapa muka baharu untuk merebut tempat menjelang tumpuan sebenar iaitu Piala AFC B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
"Kita perlu bersedia, kita tidak boleh berharap pada mereka sebab kalau mereka tidak ada pun, tidak akan kita tidak boleh menang, sebab di Malaysia ini ramai pemain yang berkualiti. Jadi inilah masanya kita perlu buktikan time mereka tiada.. jadi kita kena buktikan lebih kepada mereka", kata Azfar ketika ditemui di hari pertama Kem Latihan Pusat B-23 kebangsaan di Kompleks Sukan PKNS, di sini.
Sementara itu, Maloney memanggil 30 pemain bagi menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan pasukan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022.
Bagi kem latihan pusat kali ini, Maloney hanya mengekalkan sembilan pemain dari 23 pemain pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober lalu yang mana Malaysia telah menduduki tangga teratas dan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun depan.
Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari ini.