fb fb fb fb fb

Persediaan Olimpik Paris 2024, hati-hati dengan makanan tambahan

Adam Adli Abd Halim

IPOH, 21 Julai- Atlet Malaysia yang terlibat pada temasya sukan Olimpik Paris 2024 diingatkan agar berhati-hati dengan pengambilan sebarang makanan tambahan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, perkara itu bagi mengelakkan mereka gagal dalam isu doping yang seterusnya akan merugikan negara.

Aspek pemakanan atlet sentiasa dipantau Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).

"Setakat ini semua baik, nampak kita tiada masalah berdepan dengan isu doping dan kesedaran yang sangat tinggi. Kita memang laksanakan langkah-langkah yang diperlukan sebelum mereka ke Paris.

"Atlet kita sangat berdisiplin dalam hal ini dan kita pun tahu sebenarnya apabila ada berlaku isu doping selalunya tidak disengajakan. Dia (atlet) kadang-kadang tak sedar bahan yang terdapat dalam makanan tambahan yang diambil.

"Jadi kita memang akan pastikan perkara ini tak berulang," katanya dalam sidang media Program Kembara Jumpa Orang Muda peringkat negeri Perak di Kolej Poly-Tech Mara, Meru di sini.

Program siri ke-10 itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,353 belia sekitar Perak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI