fb fb fb fb fb

Olimpik Paris: Acara triatlon lelaki ditunda susulan pencemaran sungai

Sungai Seine tercemar susulan hujan lebat yang melanda Paris pada Jumaat dan Sabtu lepas/AFP

PARIS, 30 Julai- Acara triatlon lelaki di Sukan Olimpik Paris tidak berlangsung seperti dijadualkan hari ini selepas tahap pencemaran di Sungai Seine masih terlalu tinggi, menurut penganjur.

Susulan itu perlumbaan berkenaan ditunda ke esok, pukul 10.45 pagi waktu tempatan sejurus selepas acara wanita berlangsung pada 8.00 pagi.

Kenyataan Paris 2024 dan World Triathlon memaklumkan bahawa pencemaran itu berpunca daripada hujan lebat yang melanda sini pada Jumaat dan Sabtu lepas.

"Malangnya, kejadian meteorologi adalah diluar kawalan kami... dan memaksa kami menjadualkan semula acara atas sebab kesihatan. Ujian di Sungai Seine hari ini mendedahkan tahap kualiti air tidak memberi jaminan mencukupi untuk acara itu diadakan.

"Paris 2024 dan World Triathlon menegaskan sekali lagi bahawa keutamaan kami adalah kesihatan para atlet," menurut kenyataan itu.

Terdahulu penganjur membatalkan sesi latihan di Seine pada Ahad dan Isnin, serta yakin kualiti air akan bertambah baik menjelang perlumbaan hari ini, namun tahap pencemaran masih membimbangkan.

Jika tahap bakteria kekal terlalu tinggi pagi esok, kedua-dua acara lelaki dan wanita dijangka ditunda ke Jumaat. -AFP

SITI AISHAH MD ISA