fb fb fb fb fb

MOM komited utamakan kesejahteraan atlet di Paris

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal komited untuk mengutamakan kesejahteraan dan pembangunan atlet Malaysia dengan menyediakan persekitaran terbaik untuk mereka cemerlang dan mengharumkan nama negara pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

MOM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka komited untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasinya dan menekankan perancangan semua perbelanjaan dengan teliti demi kejayaan atlet Malaysia.

Menurut kenyataan itu pakaian rasmi dan beg yang menjadi perhatian, ditaja sepenuhnya oleh rakan kongsi MOM iaitu Yonex Sunrise Malaysia dan Samsonite Malaysia, bagi memastikan tiada penambahan perbelanjaan kepada MOM dan atlet.

“Sebagai pengurus Sukan Olimpik di Malaysia, MOM diberi mandat oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk memastikan atlet kita mendapat sokongan menyeluruh. Ini termasuk jurulatih, pakar teknikal dan pelbagai perkhidmatan penting untuk mengoptimumkan prestasi.

“Dana disediakan sebahagiannya oleh badan-badan IOC, seperti Olimpic Solidarity dan tajaan rakan kerjasama Olimpik IOC (TOP), bersama-sama sumbangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” kata kenyataan itu sebagai respons kepada perbincangan dan kebimbangan orang ramai mengenai kontinjen Malaysia di Paris.

Sementara itu, MOM menjelaskan bahawa Sukan Paralimpik terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), bukan IOC atau MOM, dengan pemilihan dan penyertaannya mengikut garis panduan dan protokol berasingan yang ditetapkan oleh IPC.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Kontinjen Malaysia yang akan ke Paris 2024 terdiri daripada 26 atlet dan 40 pegawai, termasuk 15 pakar teknikal, 11 kru perkhidmatan sokongan, sembilan pengurusan dan sekretariat dan lima pengurus pasukan, dengan setiap peranan penting dalam memastikan atlet kita menerima sokongan yang mereka perlukan.

TETITIA YUSOFF