fb fb fb fb fb

MLS: Inter Miami seri tanpa jaringan bertemu Chicago Fire

Lionel Messi (depan) dari Inter Miami CF mengawal bola sambil ditekan oleh Kellyn Acosta (belakang) dari Chicago Fire FC dalam perlawanan MLS antara Chicago Fire FC dan Inter Miami CF di Soldier Field. / Foto AFP

WASHINGTON, 14 April-Inter Miami gagal menjaringkan gol buat kali pertama musim ini dalam saingan Liga Utama (MLS) apabila mereka diikat seri tanpa jaringan oleh Chicago Fire, awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut menyaksikan kehadiran rekod penonton kelab tertinggi iaitu seramai 62,358 orang di Soldier Field, bagi menyaksikan kehadiran Lionel Messi dan pasukannya.

Chicago yang dibimbing bekas ketua jurulatih Amerika Syarikat, Gregg Berhalter, mempamerkan tahap disiplin pertahanan tinggi bagi membatasi Messi dan rakan sepasukannya, Luis Suarez, kepada hanya beberapa percubaan sepanjang perlawanan.

Messi, yang bermain sepanjang 90 minit, hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-3, namun rembatan padu dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Fire, Chris Brady.

Chicago tidak terkesan dengan kehadiran penyokong yang ramai dan hampir menjaringkan gol dalam separuh masa pertama melalui Mauricio Pineda, yang memaksa Oscar Ustari membuat terjahan penuh.

Sementara itu, tendangan Philip Zinckernagel, pula terkena tiang dari sudut sempit.

Suarez hampir mencipta jaringan buat Miami sebelum rehat apabila menerima hantaran dari Noah Allen, namun rembatan dari pemain Uruguay itu tersasar tinggi.

Selepas rehat, Chicago menguasai lebih banyak permainan dengan Jonathan Bamba, bekas pemain sayap Lille, menjadi nadi serangan.

Pada minit ke-88, Bamba hampir menghadiahkan kemenangan kepada Fire, namun percubaan susulan oleh Maren Haile-Selassie tersasar walaupun Ustari hanya mampu menepis.

Percubaan Bamba sekali lagi dinafikan oleh Ustari, dan pada penghujung perlawanan yang penuh dramatik, Tadeo Allende berpeluang menjaringkan gol kemenangan buat Miami tetapi rembatannya tersasar.

Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano, mengakui pasukannya tampak keletihan selepas kemenangan pertengahan minggu dalam aksi Piala Kejuaraan CONCACAF  menentang LAFC.

"Kami datang dengan beban yang sangat berat, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental.

"Jadi, tidak tewas adalah sesuatu yang penting juga," katanya.

"Saya ambil sisi positif. Kami tidak bolos. Kami telah dibolosi dalam tiga perlawanan sebelum ini, dan hari ini kami catatkan ‘clean sheet’. Syukur juga kerana kami akan hadapi minggu yang panjang untuk kembali bekerja dan berehat."-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD