LIVERPOOL, 12 Mac- Pengurus Liverpool Arne Slot menyifatkan kekalahan pasukannya kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA sebagai "perlawanan terbaik" yang pernah disertainya, namun mengakui skuadnya kehabisan tuah dalam penentuan sepakan penalti.
Dalam perlawanan pusingan kedua 16 terbaik yang berlangsung di Anfield awal pagi tadi, PSG bangkit daripada kekalahan 0-1 dalam aksi pertama minggu lalu selepas jaringan lewat Harvey Elliott memberi kelebihan awal kepada Liverpool di Parc des Princes.
Namun, nasib berbeza di Anfield apabila Liverpool gagal memanfaatkan peluang sebelum Ousmane Dembele meletakkan PSG di depan seawal minit ke-12.
PSG akhirnya menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas sepakan Darwin Nunez dan Curtis Jones diselamatkan oleh Gianluigi Donnarumma.
"Ia adalah perlawanan terbaik yang pernah saya sertai. Satu persembahan luar biasa, terutamanya jika dibandingkan dengan minggu lalu. Perlawanan ini memiliki segalanya. Daripada sudut Liverpool, kami sekurang-kurangnya layak mendapatkan keputusan seri selepas 90 minit.
"Kami mencipta peluang tetapi ketinggalan 0-1. Selepas minggu lalu, kali ini kami kehabisan tuah," kata Slot.
Liverpool menamatkan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA dengan rekod cemerlang, memenangi tujuh perlawanan pertama, namun Slot mempersoalkan sama ada format baharu kejohanan benar-benar memberi kelebihan kepada pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan teratas.
"Kami tersingkir dengan cara yang mengagumkan Eropah tetapi perlu dipertimbangkan sama ada berbaloi menamatkan saingan di tangga teratas jika perlu bertemu PSG di pusingan 16 terbaik.
"Tentu sahaja ini satu kejutan. Musim lalu kami tidak bermain di Liga Juara-Juara UEFA, dua musim lalu kami disingkirkan Real Madrid selepas tewas 2-5 di tempat sendiri.
"Jika harus tersingkir, biarlah dengan cara seperti ini - menentang salah satu pasukan terbaik di Eropah dengan pertarungan sengit," katanya lagi. -AFP
BERITA BERKAITAN