fb fb fb fb fb

Liga Super: PDRM raih mata penuh, kecewakan KL City FC

Aksi kedua-dua pasukan pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya pada Jumaat/FOTO FB malaysianfootballleague

PETALING JAYA, 28 Oktober - Dua jaringan oleh pemain import, Marcus Macauley dan Fadi Awad sudah memadai buat PDRM FC meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya, di sini pada Jumaat.

Pada aksi berkenaan, skuad Kuala Lumpur City dilihat lebih banyak mendominasi babak pertama dengan beberapa percubaan berbahaya ke pintu gol PDRM FC melalui Tchetche Kipre dan Paulo Josue.

Namun kekentalan benteng pertahanan 'The Cops' menyerap segala asakan mengecewakan jentera serangan KL City FC.

Keputusan seri 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, PDRM FC berjaya membuka jaringan pada minit ke-60 menerusi Marcus Macauley.

Gol tersebut ternyata membakar semangat PDRM FC apabila berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain import dari Jordan, Fadi Awad pada minit ke-75 bagi menjadikan keputusan akhir 2-0.

Keputusan itu menyaksikan PDRM kekal di tangga kelapan liga dengan 31 mata dan KL City FC di kedudukan ketujuh, dengan kelebihan perbezaan jaringan.

Sementara itu, Pengendali PDRM Datuk Yunus Alif berkata pertukaran corak permainan di separuh masa kedua ternyata berhasil dan berjaya diterjemahkan para pemainnya untuk memperoleh jaringan.

"Di separuh masa kedua, kami telah menukar taktik permainan dengan lebih banyak menyerang. Kita berjaya lakukannya", kata Yunus yang ditemui media selepas perlawanan.

Manakala jurulatih KL City, Nenad Bacina meluahkan sedikit kekecewaan dengan ketumpulan barisan serangannya yang gagal memanfaatkan peluang didepan gawang gol lawan.

"Jentera serangan tidak begitu tajam bagi menjaringkan gol.

"Keadaan tersebut berulang kembali pada separuh masa kedua. Apa pun ini adalah adat permainan", kata Bacina.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD