KRUBONG, 14 Ogos - Melaka FC berjaya mengutip satu mata dalam aksi pertama Liga Super musim ini apabila seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.
Penyerang import dari Brazil, Juan Douglas Teles Da Silva muncul wira pasukan selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69 perlawanan.
Pada separuh masa pertama, pasukan pelawat mendahului permainan apabila menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-28 selepas pemain tengah Penang FC, Dylan Christopher Charles Wenzek Halls berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Badelic Gamba Florencio Jr.
Melaka FC kemudiannya cuba menyamakan kedudukan menerusi sepakan Muhammad Nizarrudin Jazi pada minit ke-36, bagaimanapun terkena tiang gol sebelah kanan pasukan pelawat.
Babak kedua menyaksikan pelbagai cubaan diatur tuan rumah namun hanya mencatat gol menerusi jaringan Juan Douglas Teles Da Silva pada minit ke 69.
Dalam pada itu, pemain import Melaka FC dilihat masih belum dapat mencipta rentak untuk membina momentum bersama keseluruhan pasukan.
Ia diakui pengendalinya, K. Devan yang berharap semua pemain dapat mencipta keserasian dengan kadar segera.
Katanya, kekurangan pengalaman di kalangan pemain juga menjadi punca aksi pertama Liga Super bagi skuad itu dilihat kurang menjadi.
"Sepatutnya mereka boleh bermain dengan lebih baik dalam latihan dan juga 'friendly' (perlawanan persahabatan) tapi hari ini mungkin perlawanan pertama saya rasa keyakinan mereka akan bertambah baik selepas mendapat keputusan 1-1 dan juga bermain dengan lebih baik di separuh masa kedua, jadi ini proses pembentukan pasukan baharu, keseluruhan baharu jadi perlu lebih masa lagi untuk mereka serasi dan mendapat keyakinan dan adaptasi taktikal yang perlu difahami," jelas K.Devan.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata walaupun aksi malam tadi menunjukkan peningkatan, tetapi mengakui pasukan itu masih melakukan kesalahan sama.
"(Sepanjang) 90 minit hari ini banyak yang nak kena belajar, banyak ruang nak ditambah baik, baru perlawanan kedua dan masih banyak ruang untuk diperbetulkan dan saya rasa kami dalam landasan tepat untuk meningkat dan kami perlukan lonjakan untuk menang, tidak kira Piala FA atau liga, kami perlukan kemenangan pertama untuk terus melonjak," kata Wan Rohaimi.
Penang FC sekali lagi akan bertemu Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Ahad ini bagi pusingan ke 16 Piala FA.