INGLEWOOD, 24 Mac-Penyerang Fulham, Raul Jimenez menjaringkan dua gol ketika Mexico meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Panama untuk menjuarai Liga Negara CONCACAF buat kali pertama pada Ahad.
Jimenez, yang turut cemerlang menjaringkan dua gol dalam kemenangan separuh akhir ke atas Kanada sebelum ini.
Namun, kemenangan Mexico dicemari kontroversi apabila perlawanan terpaksa dihentikan oleh pegawai perlawanan pada minit-minit terakhir akibat laungan homofobia daripada penyokong Mexico.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut perlawanan akhir Liga Negara CONCACAF dihentikan akibat insiden tersebut, yang masih berterusan dalam kalangan penyokong Mexico meskipun pelbagai usaha telah dilakukan oleh CONCACAF untuk membanterasnya.
Jimenez, 33, menyempurnakan sepakan penalti kemenangan pada minit kedua masa kecederaan selepas pertahanan Panama, Jose Cordoba, secara tidak sengaja mengangkat tangannya ketika cuba menghalang hantaran silang, menyebabkan penalti diberikan kepada Mexico.
Dalam pada itu. Jimenez memberikan penghormatan kepada jurulatih Mexico, Javier Aguirre, selepas kemenangan tersebut. Aguirre, 66, memulakan tugasnya buat kali ketiga sebagai jurulatih Mexico pada 2024 selepas sebelum ini membimbing pasukan itu pada 2001-2002 dan 2009-2010.
"Inilah yang kami mahukan sejak hari pertama 'Vasco' (Aguirre) tiba," kata Jimenez, merujuk kepada jurulatih Mexico dengan gelarannya yang popular.
"Perlawanan ini sangat sukar, tetapi kami bermain seperti yang sepatutnya ketika mereka menyamakan kedudukan, dan kini kami berjaya", jelasnya.
Sementara itu, Kekalahan berkenaan amat memeritkan buat Panama, yang sebelum ini mengejutkan Amerika Syarikat dengan kemenangan 1-0 di separuh akhir dan berharap untuk menjuarai kejohanan antarabangsa pertama mereka sejak 1951.
Separuh masa pertama yang menarik menyaksikan Panama hampir mendahului pada minit keenam, namun rembatan rendah penyerang Cecilio Waterman tepat ke arah penjaga gol Mexico, Luis Malagon.
Sebaliknya, Mexico yang berjaya membuka jaringan hanya dua minit kemudian menerusi gol dari penyerang yang berpangkalan di England, Jimenez.
Roberto Alvarado menemui ruang di bahagian kanan dan menghantar hantaran silang yang cantik di belakang pertahanan Panama, yang disudahi dengan tandukan rendah Jimenez ke dalam gawang.
Jose Luis Rodriguez hampir menyamakan kedudukan untuk Panama empat minit sebelum rehat, tetapi rembatan volinya ke sudut atas berjaya diselamatkan oleh Malagon.
Panama tidak perlu menunggu lama untuk gol penyamaan, yang tiba selepas Johan Vasquez dari Mexico mengasari Waterman dalam kawasan penalti.
Kekasaran tersebut tidak disedari serta-merta, namun selepas semakan panjang oleh VAR, pengadil Mario Escobar memberikan sepakan penalti kepada Panama, yang disempurnakan dengan penuh yakin oleh Adalberto Carrasquilla untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua berlangsung dengan agak kucar-kacir, di mana kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta peluang jaringan yang jelas. Ketika perlawanan semakin hampir memasuki masa tambahan, ketegangan semakin meningkat.
Pada minit ke-83, selepas amaran daripada sistem siar raya agar penyokong Mexico menghentikan laungan homofobia tidak diendahkan, Escobar menghentikan perlawanan mengikut protokol CONCACAF bagi menangani isu tersebut.
Panama memanfaatkan pemberhentian permainan untuk menyusun semula strategi mereka.
Namun, Mexico mengambil kesempatan dan akhirnya mendapat ganjaran daripada tekanan mereka di penghujung perlawanan apabila Cordoba menyebabkan penalti yang membawa kepada kemenangan Mexico.-AFP.