
AUSBURG, 28 September – Ketua jurulatih baharu Jerman,Jurgen Klopp merasai kekalahan pertama sejak dilantik sebagai pengendali pasukan itu selepas tewas 0-1 kepada Greece dalam aksi di Augsburg, Ahad.
- Dimitrios Kourbelis menjaringkan gol tunggal pada minit ke-74, membawa Greece menang 1-0 ke atas Jerman.
- Kemenangan itu merupakan rekod pertama Greece menewaskan Jerman dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.
- Jerman menguasai bola tetapi gagal mencipta ancaman berkesan; Klopp kata kekalahan memberi maklumat untuk penambahbaikan.
Dimitrios Kourbelis muncul wira Greece apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-74.
Dalam aksi pertama di laman sendiri, skuad kendalian Klopp gagal menampilkan ancaman di bahagian serangan selain tidak menunjukkan aksi ketika seri 1-1 menentang Belanda, Khamis lalu.
Jerman dilihat bergelut untuk menembusi pertahanan Greece sepanjang sejam pertama sebelum pelawat melakukan serangan balas pantas yang disudahi Kourbelis untuk membuka jaringan.
Kemenangan itu menjadi yang pertama Greece ke atas Jerman dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.
“Saya langsung tidak terganggu dengan kekalahan ini. Sepanjang hidup, saya sudah mengalami jauh lebih banyak kekalahan daripada yang saya mahukan.
“Tetapi selagi kita membuat kesimpulan yang tepat, kekalahan pada akhirnya hanyalah satu maklumat, sama seperti kemenangan,” kata Klopp kepada ARD.
Beliau berkata, perlawanan seperti itu penting bagi mengenal pasti kelemahan dan membuat penambahbaikan pasukan.
“Kami benar-benar memerlukan perlawanan seperti ini.
“Inilah perlawanan seperti yang kami mahukan,” katanya.
Kapten Jerman, Joshua Kimmich berkata, Klopp sudah menjelaskan dengan tegas perkara yang diinginkannya daripada pasukan dan kini terpulang kepada pemain untuk menterjemahkannya di atas padang.
Beberapa pemain utama tidak diturunkan ketika Klopp cuba mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kekuatan yang dimilikinya,
Jurulatih berusia 59 tahun itu mengambil alih pasukan kebangsaan Jerman pada Julai selepas juara dunia empat kali itu tersingkir pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia.
“Perkara penting ialah kami kekal bersama dan itu tidak akan berubah,” kata pertahanan Jerman, Jonathan Tah.
“Sudah tentu, dengan keghairahan terhadap jurulatih baharu, segala-galanya boleh menjadi terlalu hangat. Tetapi akhirnya ia bergantung kepada apa yang kami lakukan di atas padang dan bagaimana kami beraksi.”
Klopp menyenaraikan 16 pemain yang belum pernah mewakili Jerman dalam skuad 44 pemainnya, selepas memberi bayangan bahawa kejohanan itu akan digunakannya untuk menilai pemain yang ada dalam pasukannya.
Antara lima perubahan dalam kesebelasan utama ialah penyerang Hoffenheim, Bambase Conte, yang menerima panggilan mengejut selepas hanya beraksi dalam empat perlawanan Bundesliga.
Conte tampil meyakinkan pada awal permainan dan hampir membuka jaringan selepas percubaannya sedikit tersasar ketika perlawanan baru memasuki minit kedua.
Penyerang Barcelona, Karim Adeyemi, kemudian memperoleh peluang terbaik pada separuh masa pertama apabila melakukan larian pantas melepasi pertahanan Greece menerusi serangan balas, namun percubaannya sedikit melepasi palang.
Conte sekali lagi mencipta ancaman selepas rehat apabila memaksa penjaga gol Greece, Konstantinos Tzolakis, melakukan aksi pemyelamatan dengan hujung jari menerusi percubaannya.
Meskipun selesa dengan penguasan bola, Jerman gagal mencipta ancaman berkesan di bahagian serangan, membolehkan Greece semakin yakin dan lebih tajam menerusi serangan balas.
Greece hampir mendahului apabila Fotis Ioannidis melepaskan rembatan yang tersasar ketika hanya penjaga gol Jerman, Alexander Nuebel, menjadi penghalang terakhir.
Namun, Greece akhirnya memecah kebuntuan beberapa ketika kemudian apabila rembatan rendah Kourbelis terkena Joshua Kimmich sebelum bola bergolek ke penjuru kiri gawang.
Greece kemudian bertahan kental untuk memastikan kemenangan bersejarah ke atas Jerman selepas tewas tujuh kali dan mencatatkan tiga keputusan seri dalam pertemuan sejak 1960. – AFP