
KUALA LUMPUR, 28 September – Semua syarikat televisyen dan radio dimohon agar menyederhanakan serta menyesuaikan siaran hari ini sebagai tanda penghormatan terhadap pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
- Menteri Fahmi memuji jasa Allahyarhamah sebagai tokoh yang dekat dengan rakyat dan banyak berbakti kepada negara.
- Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga, semoga dikurniakan kekuatan menghadapi kehilangan.
- Dalam hantaran Facebook, Fahmi menyifatkan beliau sebagai wanita yang teguh menyokong Dr Mahathir sepanjang perjuangan.
- Beliau mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman serta beramal soleh.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil langkah itu sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarhamah kepada negara yang disifatkannya sebagai tokoh yang dekat dengan rakyat.
“Ini adalah satu momen yang amat mendukacitakan. Allahyarhamah banyak berjasa pada negara, sering dilihat sebagai seorang individu yang dekat dengan rakyat dan insya-Allah saya telah meminta semua syarikat TV dan radio untuk memastikan siaran pada hari ini disederhanakan dan disesuaikan.
“Kita berikan penghormatan atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian BeONE Mobile, pengendali mudah alih tempatan, di sini hari ini.
Datuk Seri Fahmi pada masa sama menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga Allahyarhamah.
Dalam hantaran di Facebook, beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai wanita yang sentiasa berdiri teguh di sisi Tun Dr Mahathir sepanjang perjalanan dan perjuangan beliau.
“Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, setiap perjuangan, setiap jatuh dan bangun, dalam diam yang penuh pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan Tun Dr Mahathir kini perlu diteruskan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisi beliau.
Fahmi turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu, selain mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.