KAJANG, 10 Mac - Keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 atau tidak akan diserahkan sepenuhnya kepada kabinet.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata keputusan itu dijangka akan diputuskan Jemaah Menteri untuk membuat sebarang keputusan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, ketika ini pihaknya sedang menyediakan kertas kabinet meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu.
"Kita sedang melakukan kajian diperingkat kementerian dan kita akan serahkan semua hasil kajian kita kepada Jemaah Menteri untuk satu keputusan, jadi kita kena tunggu dahulu.
"Ada banyak faktor yang perlu dilihat dan diteliti bukan sahaja kewangan, ada banyak faktor yang kena dilihat dan diteliti, jadi saya tidak boleh komen, kita tunggu, sudah hampir siap," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan pelancaran video Kod Sukan Selamat di Uniten di sini, pada Sabtu.
Penganjuran Sukan Komanwel 2026 masih menjadi tanda tanya selepas Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi ke-23 kejohanan itu, menarik diri pada Julai tahun lalu kerana peningkatan kos penganjuran.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kekecewaan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengenai tahap padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Hannah yakin Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dapat memastikan kualitinya sesuai unrtuk aksi menentang Oman pada 26 Mac ini bagi perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027.
“Stadium Nasional komited untuk skuad Harimau Malaya. Semua usaha yang dilakukan dalam beberapa minggu ini, semuanya untuk skuad Harimau Malaya," katanya.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas beberapa konsert diadakan di venue berkenaan.