BARCELONA, 2 Oktober- Barcelona meraih kemenangan selesa 5-0 ke atas Young Boys dalam penampilan sulung mereka di tempat sendiri dalam Liga Juara-Juara.
Barcelona bertandang ke Stadium Lluís Companys Olympic dengan tekanan selepas tewas perlawanan pembukaan peringkat kumpulan di Monaco dua minggu lalu dan mengalami kekalahan 2-4 kepada Osasuna dalam La Liga pada hujung minggu.
Bagaimanapun, kelab gergasi Sepanyol itu mengekalkan kawalan sepanjang berhadapan Young Boys, yang turut tewas 3-0 di tempat sendiri kepada Aston Villa dan dilihat sebagai salah satu pasukan lemah dalam kejohanan itu.
Pemain Poland, Robert Lewandowski meletakkan Barcelona di depan tujuh minit selepas sepak mula, menjaringkan gol selepas pertukaran pantas antara Raphinha dan Lamine Yamal - kedua-duanya kembali dalam kesebelasan utama selepas kekalahan Sabtu lalu di Pamplona.
Jules Kounde dan Ferran Torres hampir menggandakan jaringan buat Barca sebelum Raphinha menjaringkan gol pada minit ke-34.
Young Boys mempunyai peluang mereka, tetapi rembatan Joel Monteiro kaki kirinya tersasar.
Inigo Martinez menambah gol ketiga sebelum tamat separuh masa, menanduk masuk hantara sudut Pedri.
Lewandowski meledak gol peribadi kedua dengan menanduk satu lagi hantara sudut pada awal babak kedua.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick membawa masuk Ansu Fati menggantikan Pedri selain Frenkie de Jong yang baru pulih daripada kecederaan pada 15 minit terakhir.
Barcelona memastikan kemenangan bergaya 5-0 pada minit ke-81 hasil gol sendiri Mohamed Ali Camara.