fb fb fb fb fb

Jojo lakar sejarah, atlet termuda meterai kontrak AS$100,000 ONE Championship

(FOTO IG MUHAMMAD JOHAN "JOJO" GHAZALI)

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Atlet muda Muaythai dari Sarawak berusia 16 tahun Muhammad Johan Ghazali, yang lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, mencipta sejarah apabila muncul sebagai atlet termuda yang memperoleh kontrak bernilai enam angka dengan pertubuhan seni mempertahankan diri berprestij ONE Championship.

Detik bersejarah itu direalisasikan selepas Jojo menumbangkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam pertarungan ONE Friday Fights 36 yang berlangsung Jumaat lalu di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand.

Ia adalah kemenangan yang keempat berturut-turut dalam ONE Championship, satu pencapaian yang mengagumkan untuk anak muda itu.

Sejurus selepas dinobatkan selaku pemenang, Jojo berkata "Ini semua gila, saya akan menyambut hari jadi yang ke-17 bulan depan, dan kini saya rasa saya bakal mempunyai kontrak dengan ONE Championship sebelum boleh memperoleh lesen memandu".

Atlet berdarah Malaysia-Amerika itu jelas gembira dengan kemenangannya dan seakan tidak percaya mampu meraih pencapaian tersebut pada usia yang sangat muda.

Mewakili Kelab Muay Thai Rentap, Jojo memperoleh kontrak AS$100,000 dengan ONE Championship sebagai tambahan kepada bonus 'knockout' sebanyak 350,000 Baht (kira-kira RM46,000).


(FOTO IG MUHAMMAD JOHAN "JOJO" GHAZALI)

Media Baharu