fb fb fb fb fb

Hoki Piala Negara-Negara : Malaysia tewas 3-4 kepada New Zealand

Pemain pasukan Malaysia Akhimullah Anuar (kiri) dikasari pemain New Zealand Simon Yorston pada perlawanan peringkat kumpulan B Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil. -BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Skuad kebangsaan memilih jalan sukar untuk mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Dunia (FIH) 2025 apabila tewas 3-4 kepada New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh meluahkan rasa kecewa terhadap kekalahan yang menurutnya berpunca daripada kesilapan individu dan tidak sepatutnya berlaku ketika pasukan kebangsaan menguasai rentak pada awal babak perlawanan.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Sarjit menyuarakan kekecewaan selepas anak didiknya dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan dan mendahului dengan kelebihan gol, namun satu kesilapan di bahagian tengah telah mengubah segalanya.

“Kami mengawal penuh perlawanan. Tiada ancaman langsung, tapi satu kesilapan di tengah padang, kehilangan bola dan kemudian diberi kad, menyebabkan mereka menjaringkan semua gol. Kami beri mereka kemenangan mudah,” ujar beliau.

Walaupun kecewa, jurulatih tetap memuji semangat juang anak buahnya yang berusaha keras hingga ke wisel penamat.

“Saya tak salahkan sesiapa. Mereka main dengan baik. Tapi ini hoki, apa sahaja boleh berlaku.”

Mengulas peluang Malaysia untuk mara ke peringkat seterusnya, beliau mengakui pasukan kini bergantung kepada keputusan perlawanan antara Pakistan dan New Zealand.

“Kami perlu menang besar dalam perlawanan seterusnya. Tapi semuanya bergantung pada keputusan Pakistan lawan New Zealand. Kalau seri, peluang kami tipis. Kalau New Zealand menang, kami masih ada peluang. Dan jika ada peluang kedua, kami kena rebut sebaik mungkin.”

Malaysia dijadualkan menentang pasukan seterusnya dalam aksi penentuan hidup mati bagi meneruskan kemaraan dalam kejohanan edisi kali ini.

SITI NOORAIN ABDULLAH