fb fb fb fb fb

EPL: Salah selamatkan maruah Liverpool

Foto REUTERS

LONDON, 28 Oktober-Jaringan minit akhir Mohamed Salah membolehkan Liverpool seri 2-2 ketika menentang Arsenal dalam pertemuan menarik kedua-dua pasukan di Stadium Emirates pada Ahad.

Pada perlawanan berkenaan, Arsenal yang melayani kunjungan Liverpool terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan pada minit kesembilan permainan menerusi Bukayo Saka yang berjaya merembat kencang bagi menewaskan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.

Gol berkenaan merupakan gol ke-50 buat Saka pada kempen Liga Perdana Inggeris selepas pulih daripada kecederaan panjang yang dialaminya sebelum ini.

Ketua pasukan Liverppol, Virgil van Dijk berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-16.

Tuan rumah kembali mendahului 2-1 selepas Mikel Merino menjaringkan gol hasil menerusi tandukan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher.

Mohamed Salah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81 dengan sepakan mudah hasil hantaran daripada Darwin Nunez.

Gol tersebut meletakkan pemain sayap Mesir itu di kedudukan kelapan dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang masa, menyamai rekod Robbie Fowler dengan 163 gol dalam Liga Perdana Inggeris.

Arsenal hampir-hampir mendapat gol kemenangan melalui gandingan Kai Havertz dan Gabriel Jesus.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan Anthony Taylor telah meniup wisel kerana berlaku kekasaran sebelum itu.

Keputusan seri berkenaan meletakkan Liverpool di tangga kedua dengan 22 mata daripada sembilan perlawanan, satu mata di belakang Manchester City, manakala Arsenal pula naik ke tempat ketiga dengan 18 mata.

Sementara itu, Pengurus Arsenal Mikel Arteta, menyatakan kekecewanya kerana gagal meraih kemenangan, namun berbangga dengan usaha pasukannya yang enggan menyerah.

"Saya lebih suka berada lima mata di hadapan City berbanding lima di belakang, namun pasukan ini masih hidup dan mempunyai semangat yang tinggi," katanya.

Dalam perkembangan sama,Ketua jurulatih Liverpool, Arne Slot, pula berpuas hati dengan keputusan berkenaan.

"Selepas dua kali ketinggalan menentang pasukan Arsenal yang sangat kuat dan berkualiti, memperoleh satu mata adalah sesuatu yang menggembirakan", jelasnya.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD