fb fb fb fb fb

DBKL nyatakan komitmen selesaikan isu tunggakan gaji KL City dalam masa terdekat

Penaung KL City yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 17 Mac - Isu tunggakan gaji pemain Kelab Kuala Lumpur City (KL City) akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Penaung KL City, Fahmi Fadzil berkata keputusan itu telah mencapai kata putus dan beberapa perkara telah dilakukan agar pembayaran segera dapat dilakukan.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh agar segera berhubung dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyatakan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Insya-Allah dalam masa tidak terlalu lama mengikut proses-proses tertentu kita akan lunaskan apa juga yang telah dihutangkan terutama kepada pemain.

"KIta akan pastikan KL City dapat bersedia untuk memulakan musim nanti dan insya-Allah, minggu depan saya akan turun lihat sendiri tahap persediaan para pemain," katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merngadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard dan beberapa pemain kelab berkenaan di pekarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Sebelum ini, MFL memberikan ‘talian hayat’ buat dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC) dan KL City FC untuk melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka secara berperingkat dan perlu berusaha menyelesaikan perkara berkenaan sebelum 29 Mac ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN